Carian
Pertama Kali Menggunakan Samsung Galaxy A55 5G – Apa Yang Menarik Kali Ini?
March 23, 2024 Lina Rosli

Untuk anda yang sedang mencari telefon pintar, apakah ciri-ciri yang anda ingin dan perlu ada – bagi memastikan pengalaman penggunaan peranti berkenaan berjalan dengan lancar?

Jika anda tanya penulis, setiap telefon pintar perlu mempunyai rekaan yang menawan, hadir dengan prestasi yang luar biasa dan juga ciri keselamatan yang baik.

Mana tidaknya, jika ada ketiga-tiga penawaran ini, sudah tentu anda tidak perlu mendapatkan lebih daripada satu peranti untuk digunakan sebagai daily driver, bukan?

Baru-baru ini, Samsung telah memperkenalkan sebuah peranti baharu dari siri Galaxy A iaitu Samsung Galaxy A55 5G – dan anda mungkin boleh pertimbangkan untuk mendapatkan peranti ini sebagai telefon pintar harian anda.

Apa Yang Menarik Pada Peranti Samsung Galaxy A55 5G?

Apabila pertama kali melihat Samsung Galaxy A55 5G, mata penulis sudah tertawan dengan warna peranti yang ditampilkan kali ini iaitu Awesome Lilac.

Menampilkan vibes seperti berada di dalam musim bunga, warna Awesome Lilac ini merupakan warna yang baharu ditampilkan pada model siri Galaxy A kali ini. Dilengkapi dengan kemasan bersinar (shiny) pada belakang peranti, ia menjadikan peranti ini kelihatan lebih premium.

Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai peranti, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda pengalaman pertama kali memegang dan menggunakan Samsung Galaxy A55 5G selepas ia dilancarkan untuk pasaran Malaysia.

Persepsi Awal Untuk Rekaan Peranti Samsung Galaxy A55 5G

Pertama kali Tajria memegang Samsung Galaxy A55 5G, saya boleh dikatakan peranti ini memberikan pengalaman genggaman peranti yang hampir sempurna – walaupun di tangan penulis yang kecil, peranti ini tetap terasa selesa untuk dipegang. Hal ini kerana, walaupun ia hadir dengan binaan plastik, namun, ia tetap kukuh di tangan di samping mempunyai berat yang bersesuaian.

Dan untuk pengetahuan anda, saiz skrin peranti ini juga kembali seperti model Samsung Galaxy A53 sebelum ini iaitu 6.6-inci untuk bentuk segi empat tepat penuh.

Dari segi rekaan, Samsung masih mengekalkan susunan kamera belakang secara berderet ke bawah – yang mana ia dilengkapi dengan tiga lensa utama.

Pada bahagian skrin hadapan, Samsung Galaxy A55 5G ini mempunyai bezel yang ketara jika dibandingkan dengan model sebelum ini. Selain itu juga, disebabkan peranti ini dilengkapi dengan kemasan licin dan bersinar, ia kerap meninggalkan kesan cap jari yang mungkin perlu kerap dibersihkan untuk kelihatan cantik.

Dan Samsung Galaxy A55 5G ini juga tidak menawarkan bicu audio pada peranti dan kembali menukar tempat letak sim pada bahagian atas peranti dan bukannya pada bersebelahan dengan port pengecas.

Adakah Rakaman Gambar Menggunakan Peranti Samsung Galaxy A55 5G Cukup ‘Awesome’?

Menarik mengenai siri Galaxy A kali ini, Samsung masih kekal memberikan pengalaman penggunaan kamera dan juga suntingan rakaman yang ‘awesome’ kepada pengguna.

Untuk kamera, Samsung Galaxy A55 5G hadir dengan kamera belakang utama 50-megapixel, yang turut disertakan bersama kamera ultra-lebar 12-megapixel dan kamera 5-megapixel makro. Manakala kamera hadapan pula menampilkan lensa 32-megapixel.

Dan untuk peranti ini, sistem kameranya dilengkapi penstabilan imej optikal (OIS) dan penstabilan imej digital video (VDIS) yang memastikan rakaman gambar dan video tetap jelas walaupun anda merakam momen-momen penting dalam apa jua situasi.

Dalam sistem kamera Samsung Galaxy A55 5G ini juga, penulis turut tidak ketinggalan mencuba beberapa ciri suntingan terbina seperti Object Eraser, Lasso, Face Effects, Spot Colour ataupun anda juga boleh menambah pelekat dan juga teks.

Benarkah Samsung Galaxy A55 5G Hadir Dengan Sokongan Ciri Keselamatan Yang Baik – Menerusi Samsung Knox Vault?

Apa yang menjadi highlight pada tahun ini, Samsung membawakan salah satu ciri keselamatan yang inovatif menerusi pengenalan Samsung Knox Vault – kepada pengguna siri Galaxy A termasuk pada Galaxy A55 5G dan Galaxy A35 5G baharu.

Untuk pengetahuan anda, Samsung Knox Vault menawarkan perlindungan menyeluruh terhadap kedua-dua serangan perkakasan dan perisian dengan membina persekitaran pelaksanaan selamat yang diasingkan secara fizikal daripada pemproses dan memori utama sistem.

Antara ciri-ciri keselamatan yang boleh anda cuba termasuklah perlindungan data-data kritikal seperti kata laluan untuk akses ke akaun privasi anda – yang mana anda perlu memasukkan kod PIN, kata laluan atau corak yang telah anda tetapkan.

Selain itu, Samsung Knox Vault juga melindungi data peribadi pengguna yang disimpan dalam peranti. Hanya pengguna yang mempunyai kelayakan sahaja yang boleh mengakses data mereka, walaupun peranti itu hilang atau dicuri.

Bukan itu sahaja, apa yang menarik juga, dengan adanya Security and Privacy Dashboard ia menjadikan penulis lebih mudah untuk melihat dan mengawal perkara yang berlaku pada data pengguna dan menarik balik sebarang kebenaran selepas penulis memilih sebarang tetapan.

Seterusnya, ada satu lagi ciri keselamatan yang menarik adalah Private Sharing, yang membolehkan perkongsian yang selamat – sekiranya terdapat tugasan yang memerlukan anda menghantar fail yang mengandungi maklumat peribadi atau kewangan yang penting – anda boleh memilih untuk mengehadkan tangkapan skrin atau muat turun.

Untuk menetapkannya, anda boleh ke bahagian Settings > Security And Privacy di peranti Samsung Galaxy A55 5G anda.

Bolehkah Samsung Galaxy A55 5G Digunakan Untuk Tempoh Yang Lama?

Untuk bateri yang ditawarkan pada Samsung Galaxy A55 5G, ia dilengkapi bateri berkapasiti 5,000 mAh bersama sokongan pengecasan pantas 25W yang mana penawaran ini adalah sama dengan penawaran yang disertakan pada model sebelum ini.

Walau apapun, dengan kehadiran bateri yang lebih besar, tempoh penggunaan peranti ini dijangka mampu bertahan sehingga dua hari lamanya sekiranya ia beroperasi pada kegunaan biasa sahaja.

Apakah Pandangan Penulis Tentang Samsung Galaxy A55 5G?

Jawapannya, pada pendapat penulis sendiri, Samsung Galaxy A55 5G sememangnya hadir dengan rekaan dan barisan spesifikasi yang menarik. Ia bukan sahaja melengkapkan gaya moden yang ingin ditampilkan oleh para individu masa kini, malah ia turut menawarkan beberapa fungsi yang mampu memikat hati – lebih-lebih lagi ciri keselamatan Samsung Knox Vault.

Jadi, apa pula pendapat anda tentang penawaran peranti terbaru daripada Samsung ini? Adakah ciri yang ditawarkan menepati pilihan anda? Nantikan ulasan Samsung Galaxy A55 5G dalam artikel seterusnya.

Sekiranya anda ingin mendapatkan Samsung Galaxy A55 5G, peranti ini dijual pada harga RM1,999 sebuah.

Komen