Carian
Malaysia Airports Dan Kraftangan Malaysia Meraikan Kemeriahan Hari Raya Menerusi Pesona Kraf Tekstil
March 27, 2024 Lina Rosli

Buat pertama kali diperkenalkan, Malaysia Airports bersama-sama dengan Kraftangan Malaysia dilihat hadir dengan sebuah kempen yang mempromosikan warisan budaya Malaysia – memfokuskan kepada pengenalan produk tekstil yang pelbagai.

Menggunakan tema Jalinan Aidilfitri: Pesona Kraf Tekstil, kempen kerjasama ini meraikan keindahan tekstil tempatan yang menjadi pilihan kebanyakan individu di Malaysia seperti batik, songket dan tenun.

Bagi anda yang ingin melihat keindahan seni tekstil tempatan, kempen ini telahpun mula berlangsung dari 16 Mac hingga 15 Mei 2024 – yang mana ia boleh diterokai di Terminal 1 KLIA dan Terminal 2 KLIA.

Di Terminal 1 KLIA, pengunjung disambut oleh tarikan pusat yang menawan, Rumah Kampung Limas. Berdiri dengan megah pada ketinggian 24 kaki di dalam Balai Berlepas di Aras 5, seni bina ini direka dan dibina dengan teliti oleh pembina tersohor, Masadan bin Mohsin.

Selari dengan kempen ini, Rumah Kampung Limas ini diselubungi keindahan tekstil Malaysia yang menghiasi setiap sudut, daripada alas meja hingga sarung kusyen dan kepingan hiasan berasaskan tekstil lain.

Di bawah rumah itu terdapat stesen canting batik yang membolehkan para pengunjung untuk melibatkan diri dalam seni mewarna kepingan batik. Terdapat juga ruang lain yang membolehkan para pengunjung melihat proses untuk penghasilan songket dan mempelajari lebih lanjut tentang teknik tenunannya.

Setiap kawasan yang ditetapkan mempunyai kod QR untuk pengunjung mengimbas menggunakan telefon pintar mereka untuk menikmati pemandangan batik Wau yang terbang tinggi dengan latar belakang lapangan terbang.

Selain itu, pengunjung juga boleh merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di Bazar Raya Seloka khas di Terminal 1 KLIA dan Terminal 2 KLIA. Bazar ini menampilkan pelbagai vendor yang menawarkan fesyen, seni dan kraf buatan tempatan yang diilhamkan daripada tekstil.

Komen