Carian
Memahami Kesan Endometriosis Dan Ketahui Langkah Selanjutnya Menghadapi Cabaran Penyakit Ini
April 1, 2024 Lina Rosli

Untuk pengetahuan anda secara global, endometriosis telah menjadi musuh kepada kira-kira 190 juta orang wanita. Ia merupakan satu penyakit yang mungkin pernah didengari, tetapi tidak ramai yang benar-benar memahaminya. 

Sempena Bulan Kesedaran Endometriosis, pakar kesihatan mengajak kita untuk mengenali secara ringkas tentang misteri dan salah tanggapan individu mengenai endometriosis ini.

Secara umumnya, endometriosis merupakan keadaan penyakit yang boleh merebak secara senyap dalam kalangan jutaan wanita. Kesan yang paling ketara untuk penyakit ini adalah ia akan menimbulkan kesakitan yang amat teruk dan menjejaskan aktiviti paling rutin seperti kitaran haid, hubungan seksual serta rutin mudah harian seperti membuang air kecil atau buang air besar.

Bagi yang tidak mengetahui, penyakit endometriosis adalah keadaan di mana tisu yang menyerupai lapisan rahim tumbuh di luar rahim. Penyakit ini akan menyebabkan kesakitan yang teruk seperti:kembung perut, keletihan, dan pelbagai gejala lain.

Apabila mengalami simptom ini, ia boleh memberikan kesan terhadap kesihatan mental wanita, yang membawa kepada kemurungan dan kebimbangan.

Keadaan ini menjadi semakin serius apabila ia melibatkan kesuburan dan wanita dalam usia reproduktif. Dengan peratusan 30% hingga 50% wanita tidak subur didapati menghidap endometriosis, impian untuk menjadi ibu sebaliknya menjadi mimpi buruk.

Peluang untuk hamil mungkin terhalang oleh penyakit ini yang menyebabkan anatomi pelvis yang herot, tiub fallopio berparut, dan pelbagai faktor lagi yang mempengaruhi kualiti telur dan kehamilan.

Memahami Kesan Endometriosis Dan Ketahui Langkah Selanjutnya Menghadapi Cabaran Penyakit Ini

Endometriosis dibahagikan kepada empat tahap – setiap tahap mencerminkan kompleksiti dan dan impak berbeza penyakit ini.

Daripada kesan yang minimum hingga teruk, setiap tahap menggambarkan keadaan penularan penyakit dan memberikan pengetahuan tentang gejala dan pilihan rawatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan dan memulihkan kualiti hidup.

  • Endometriosis Tahap Pertama

Tahap pertama, atau dipanggil endometriosis minimum, ia melibatkan tompok tisu kecil yang bertaburan. Pada tahap ini, individu lazimnya tidak melihat sebarang simptom atau berasa tidak selesa pada pelvis – atau ia mungkin berlaku tetapi secara ringan sahaja.

  • Endometriosis Tahap Kedua

Dikenali sebagai endometriosis ringan, pada tahap kedua ini, terdapat peningkatan jumlah tompok tisu, dan ia berpotensi untuk menjejaskan kesuburan dan menyebabkan kesakitan semasa haid dan ketidakselesaan semasa hubungan seks.

  • Endometriosis Tahap Ketiga

Tahap tiga, atau endometriosis sederhana, anda akan melihat jumlah tompok tisu semakin meningkat, dan mungkin juga terdapat tisu parut dan perekatan.

Ini akan menyebabkan sakit pelvis kronik dan masalah penghadaman.

  • Endometriosis Tahap Keempat

Tahap empat, atau endometriosis teruk, dicirikan oleh tompok tisu yang meluas. Individu juga mungkin mengalami sista besar, dan parut tisu yang ketara, mengakibatkan kesakitan yang teruk dan berpotensi menjejaskan fungsi usus dan kencing.

Walaupun tiada penawar yang mutlak untuk endometriosis, klasifikasi tahap keadaan pesakit oleh pakar diagnosis boleh membantu mereka mendapatkan pilihan rawatan yang sesuai untuk menangani simptom tersebut dan meningkatkan kualiti hidup.

Apakah Rawatan Yang Boleh Diterima?

Dalam hal ini, pengetahuan dan tindakan awal adalah amat penting. Terdapat pelbagai jenis rawatan yang tersedia untuk pesakit, termasuk pembedahan laparoskopi dan rawatan kesuburan khusus yang bertujuan untuk menangani simptom-simptom dan mencegah penularan penyakit.

Diagnosis dan tindakan awal boleh memberi akses kepada pilihan rawatan yang lebih berkesan, yang bukan sahaja mengurangkan simptom, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup, malah melindungi kesuburan seseorang pesakit.

Bagi mereka yang mengesyaki bahawa diri mereka, atau seseorang yang rapat mungkin menghidapi endometriosis, ia adalah sangat penting untuk mendapatkan bantuan pakar dan rawatan perubatan profesional.

Langkah ini juga penting untuk dijadikan teladan oleh ramai orang lain yang mungkin sedang menderita dalam diam. Dapatkan bantuan dan mara ke arah masa hadapan di mana endometriosis bukan lagi satu penderitaan yang disembunyikan, tetapi satu cabaran yang dihadapi dengan belas kasihan, pengetahuan, dan yang paling penting, harapan.

Komen