Marriott Hotels mengumumkan pembukaan Perhentian Marriott Resort & Spa di Pulau Perhentian Kecil di Terengganu.

Terletak di tengah-tengah keindahan Taman Laut Pulau Perhentian yang menakjubkan, pembukaan Perhentian Marriott Resort & Spa akan memberikan satu pengalaman yang menarik kepada tetamu -menampilkan kawasan perlindungan tropika yang sarat dengan keindahan alam semula jadi, pantai yang bersih, perairan yang jernih dan hidupan marin yang pelbagai di sekeliling laut.

Selari dengan status Pulau Perhentian sebagai Taman Marin dan Kawasan Perlindungan Alam Sekitar, reka bentuk resort ini memfokuskan kepada kemampanan, selain meletakkan kepentingan tertinggi untuk meminimumkan kesan ke atas alam sekitar – menerusi penggunaan bahan binaan tempatan dan landskap asli.

Reka bentuk bangunan pula menggabungkan konsep minimalis dan tradisional – hiasan yang digunakan mencerminkan kraf tenunan tradisional songket dengan motif rumit yang menghasilkan kontras visual yang kuat terhadap dinding ciri desa.

Perhentian Marriott Resort & Spa mempunyai 200 bilik deluxe yang indah dan 17 vila yang dilengkapi pemandangan laut yang menakjubkan pada waktu siang dan malam. Ia juga hadir dengan Royal Villa, bilik yang paling besar dengan keluasan seluas 120 meter persegi, salah satu suite hotel terbesar di pulau itu dengan kolam renang peribadi.

Tarikan menakjubkan di Perhentian Marriott Resort & Spa adalah anda boleh mendapatkan akses terus ke pantai, meneroka keindahan bawah laut Terengganu – menawarkan Pusat Menyelam yang menampilkan tenaga pengajar dan peralatan selam skuba yang serba lengkap. Tarikan-tarikan lain di resort ini termasuk Pusat Seni, Kraf & Kebudayaan Terengganu, di mana tetamu boleh menemui lebih lanjut tentang keindahan seni dan kraf tradisional Terengganu yang abadi melalui bengkel, demonstrasi dan aktiviti.

Bagi anda yang berminat untuk menempah bilik di Perhentian Marriott Resort & Spa, resort ini mudah diakses dengan feri dari Jeti Kuala Besut, iaitu satu jam pemanduan dari bandar Kota Bharu.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila layari www.perhentianmarriott.com