Tahukah anda, berdasarkan dapatan data tempatan di Malaysia, ia menunjukkan peningkatan yang ketara dalam bilangan individu yang menghidapi autisme – seramai 589 kanak-kanak didiagnosis pada 2021 berbanding hanya 99 orang pada 2010.
Dengan peningkatan individu dengan penyakit autisme di dalam negara, pemahaman yang lebih mendalam tentangnya adalah diperlukan untuk mendidik, menyelami dan menyokong individu-individu tersebut supaya mereka boleh menjalani kehidupan yang baik.
Untuk pengetahuan anda, ramai masyarakat sering menganggap gangguan spektrum autisme (ASD), atau autisme sebagai satu penyakit yang mengganggu pembelajaran.

Namun, menurut Pakar Kesihatan Keluarga di IMU, Dr Chow Suet Yin, autisme adalah kecacatan perkembangan saraf yang merangkumi keadaan yang ringan hingga teruk.
Autisme boleh didiagnosis seawal usia 18 bulan. Walaupun ia mempengaruhi beberapa aspek pembelajaran, kita perlu ingat bahawa autisme adalah spektrum dan setiap individu adalah berbeza. Dan harus diingatkan, setiap kanak-kanak boleh diajar dan bukan setiap kanak-kanak autisme memerlukan pendidikan khas.
Ramai daripada mereka dapat meneruskan pembelajaran di sekolah biasa dengan sedikit sokongan. Malah, ada yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan mempunyai pekerjaan tetap.
Apakah Tanda-Tanda Awal Autisme?
Tanda-tanda biasa autisme termasuklah:
- Kesukaran atau kelewatan perkembangan kemahiran komunikasi dan sosial. Misalnya, mereka mungkin menyalah tafsir isyarat sosial, menghadapi masalah membuat ayat yang lengkap atau sukar mengikut arahan.
- Kerap menunjukkan tingkah laku berulang dan menentang perubahan.
Diagnosis Autisme Dalam Kalangan Kanak-Kanak
Autisme boleh disaring menggunakan M-CHAT seawal usia 18 bulan dan hanya boleh didiagnosis secara peribadi oleh profesional penjagaan kesihatan yang berkelayakan dengan menggunakan penilaian perkembangan formal.
Ini mungkin diikuti dengan ujian tambahan untuk menolak kemungkinan punca-punca lain, seperti gangguan genetik tertentu atau keadaan neurologi yang mengajuk autisme.

Secara umumnya, adalah penting untuk ibu bapa mendapatkan diagnosis yang tepat supaya boleh mengambil langkah yang sesuai untuk anak-anak – mengambil langkah seterusnya untuk mempelajari cara menguruskan keperluan anak mereka.
Pendekatan Pembelajaran Untuk Kanak-Kanak Autisme Mengikut Kesesuaian
Memandangkan keperluan setiap kanak-kanak adalah berbeza, tempoh percubaan akan membantu pihak sekolah menentukan sama ada kanak-kanak itu boleh kekal di dalam kelas biasa atau dimasukkan ke dalam kelas bersepadu.
Ibu bapa perlu lebih terlibat dengan pendidikan anak mereka dan bekerjasama rapat dengan guru serta ahli terapi. Sebagai contoh, sesi terapi tetap dengan ahli terapi boleh membantu kanak-kanak belajar cara berkomunikasi dengan lebih berkesan dan menyesuaikan diri dengan situasi yang berbeza.
Guru juga perlu sedar tentang apakah pencetus kanak-kanak dan membangunkan pelan pendidikan peribadi untuk mereka.
Sementara itu, bagi kanak-kanak yang mempunyai autisme teruk, sekolah khusus mungkin lebih sesuai untuk keperluan mereka.
Bagaimana Teknologi Boleh Membantu Kanak-Kanak Autisme?
Selain itu, ibu bapa juga boleh mempertimbangkan kaedah tambahan untuk menyokong pembelajaran mereka, seperti penggunaan alat dan aplikasi digital yang percuma untuk digunakan – seperti JABtalk, Card Talk atau Proloquo2Go untuk mengakses konten atau perkhidmatan tambahan.
Dr Chow juga mengesyorkan ibu bapa membincangkan penggunaan aplikasi-aplikasi tersebut dengan ahli terapi anak mereka untuk melihat sama ada aplikasi atau permainan yang berkenaan dapat membantu memenuhi matlamat pembelajaran dan perkembangan bagi tahap umur atau peringkat perkembangan mereka.

Perkara lain yang perlu dipertimbangkan semasa menggunakan permainan atau aplikasi ialah jumlah masa skrin. Pastikan kanak-kanak ini menggunakan skrin secara bersederhana dan orang dewasa perlu memantau, menetapkan sempadan yang jelas dalam mengurus jangkaan kanak-kanak dan mengurangkan tentangan.
Beberapa alat pendidikan atas-talian juga boleh membantu ibu bapa juga seperti Latihan Kemahiran Penjaga ePembelajaran WHO yang disediakan secara percuma untuk diakses.