Carian
IKAT 2.0 Edisi Pulau Pinang Mengetengahkan Naratif Seni Tekstil Dan Tukang Mahir Dalam Industri Batik
April 22, 2024 Lina Rosli

IKAT 2.0, sebuah platform yang melestarikan warisan seni tenunan dan tekstil Malaysia, akan diadakan di George Town, Pulau Pinang, pada 27 dan 28 April 2024 bertempat di Loft 29.

Dianjurkan khusus untuk penduduk di wilayah Utara, IKAT 2.0 Edisi Pulau Pinang, yang bertemakan ‘Tradisi Tapestri’, akan mengetengahkan naratif seni tekstil dan tukang mahir yang terdapat dalam industri batik Pantai Timur Malaysia.

IKAT 2.0 dipelopori oleh studio kreatif Experiential Design Team (EDT) dan dipersembahkan oleh Yayasan Hasanah, Khazanah Nasional Berhad.

IKAT atau singkatan “Immersive Knowledge and Textile” dianjurkan untuk memberi nafas baharu, menggalakkan penglibatan awam dan meningkatkan kesedaran serta penghargaan rakyat Malaysia terhadap warisan tekstil, motif, teknik, serta proses pembuatan yang teliti.

Selain daripada itu, ia juga dapat menggalakkan penglibatan orang ramai dalam bidang ini menerusi pelbagai aktiviti dan memberikan pengalaman baharu berunsurkan teknologi, selain menyemarakkan kerjasama strategik dengan artis media baharu, institusi pendidikan serta pakar dalam bidang berkaitan.

Dengan bertemakan ‘Tradisi Tapestri’, edisi Pulau Pinang ini bakal menyelami kepentingan simbolik lima elemen, iaitu Bumi, Air, Api, Logam, dan Kayu dalam pembuatan batik. Ia membawa penonton menerokai budaya untuk memahami bagaimana elemen-elemen tersebut membentuk naratif, teknik dan penciptaan batik Malaysia.

Bagi anda yang berminat untuk hadir ke hab pengalaman tekstil pop-up IKAT 2.0: Tradisi Tapestri, kemasukkan adalah percuma – bermula dari jam 10.30 pagi ke 10.30 petang.

Untuk maklumat lanjut mengenai IKAT 2.0, anda boleh layari https://ikatmalaysia.com/ atau ikuti Instagram @IKATMalaysia.

Komen