Walaupun cuti sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini sudahpun habis pada sekitar pertengahan bulan April 2024, namun kemeriahan sambutan perayaan ini masih lagi dirasai dan penulis sendiri masih tidak selesai berkunjung ke rumah sanak-saudara untuk sesi ziarah menziarahi.
Seiring dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini juga, platform pelancongan dalam talian terkemuka Trip.com telah mendedahkan pertumbuhan luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam tempahan perjalanan di seluruh Malaysia semasa tempoh perayaan tersebut.
Melalui analisis data dari 9 April hingga 13 April 2024, Trip.com telah melihat lonjakan yang luar biasa dalam perjalanan domestik dan antarabangsa yang menyerlahkan pemulihan yang ketara dalam industri pelancongan Malaysia.
Dari segi jumlah tempahan keseluruhan, Kuala Lumpur menyaksikan peningkatan yang luar biasa sebanyak 113% tahun ke tahun manakala Pulau Pinang dan Kota Kinabalu mengalami pertumbuhan ketara tahun ke tahun pada aras 62% dan 89%.
Tempahan penerbangan domestik ke Kuala Lumpur menyaksikan peningkatan yang mengejutkan pada aras 99% berbanding tempoh Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. Tempahan penerbangan domestik ke Pulau Pinang juga turut melonjak dengan ketara sebanyak 131%. Sementara itu, Kota Kinabalu mengalami peningkatan sebanyak 81%.
Malah, penerbangan antarabangsa juga menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dengan peningkatan 94% untuk penerbangan ke Malaysia dari Singapura. Sementara tempahan penerbangan dari Indonesia ke Malaysia menunjukkan peningkatan sebanyak 33 kali ganda – menandakan minat yang semakin meningkat dalam perjalanan rentas sempadan di rantau ini.
Trend peningkatan perjalanan yang dibuat oleh orang ramai diteruskan dengan lancar dalam tempahan hotel yang menyerlahkan semangat holistic pelancong untuk bersantai dan berehat.
Tempahan hotel domestik Trip.com untuk Kuala Lumpur meningkat sebanyak 57% dan Pulau Pinang pula mengalami peningkatan sebanyak 24%, manakala Kota Kinabalu menyaksikan lonjakan sebanyak 62%.
Tempahan hotel antarabangsa ke Malaysia dari Singapura meningkat sebanyak 69%. Rekod ini seterusnya menekankan tarikan negara Malaysia sebagai destinasi pelancong serantau. Selain itu, tempahan hotel dari Indonesia juga melonjak sebanyak 316%.