Aurelius Healthcare mengumumkan penjenamaan semula Hospital Aurelius Nilai kepada Hospital Aurelius Negeri Sembilan.
Langkah itu menonjolkan dedikasi Aurelius Healthcare untuk melanjutkan perkhidmatan kepada komuniti Negeri Sembilan yang lebih luas dengan menyediakan rangkaian perkhidmatan dan kemudahan penjagaan kesihatan yang komprehensif.
Sejak penubuhan pada 2019, Aurelius Healthcare telah memulakan pertumbuhan organik dan bukan organik secara berterusan untuk memperluaskan impaknya serta menaik taraf tawarannya.
Pada 2023, kumpulan itu, dengan sokongan Navis Capital Partners, telah melakar beberapa pencapaian penting, termasuk:
#1 Pengambilalihan Pahang Medical Centre
Pada Julai 2023, Aurelius Healthcare mengembangkan sayapnya dan meluaskan kehadirannya dengan pemerolehan majoriti pegangan dalam Pahang Medical Centre, yang kini dikenali sebagai Aurelius Hospital Pahang (AHP).
Selari dengan visinya untuk menjadi hospital tertiari yang canggih, AHP akan menampilkan 124 katil, termasuk perkhidmatan jagaan harian, dan memperkenalkan Pusat Kecemerlangan baharu, seperti Onkologi, Pembedahan Invasif Minimum, Pembedahan Ortopedik, serta Wanita & Kanak-kanak termasuk Rawatan IVF.
#2 Kerjasama Strategik Dengan Ancubic Group
Pada Februari 2023, Aurelius Healthcare menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Ancubic Group. Perjanjian itu bertujuan merevolusikan landskap penjagaan kesihatan dengan menyatupadukan kepakaran pengurusan penjagaan kesihatan dengan falsafah seni bina ‘Bandar Pintar Botani’ – demi memupuk persekitaran holistik yang menggalakkan kesejahteraan dan hubungan dengan alam semula jadi.
Hospital baharu itu yang menampilkan 150 katil akan ditempatkan dalam Bandar Pintar Botani, serta memberi tumpuan kepada penjagaan pakar dalam Wanita & Kanak-kanak, Kardiologi dan Ortopedik.
Dengan lokasi strategik di tengah-tengah pelan induk ‘Lembah Botani’ (Botanical Valley), ia akan berfungsi sebagai asas untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan bagi penduduk di seluruh rantau dan kawasan ini.
#3 Pengiktirafan Global – Antara Hospital Terbaik Di Dunia
Aurelius Hospital Negeri Sembilan juga dicalonkan sebagai antara Hospital Terbaik di Dunia dalam Newsweek Rankings 2024, sekaligus mengesahkan momentum positifnya dalam menyampaikan pengalaman penjagaan pesakit yang cemerlang dan merevolusikan standard penyampaian penjagaan kesihatan di Malaysia.