Osteoartritis (OA) adalah sejenis penyakit sendi degeneratif – penyakit yang menjejaskan fungsi atau struktur tisu atau organ badan hingga semakin merosot mengikut masa. Dan perkara ini sekaligus menjejaskan kehidupan jutaan orang di seluruh dunia dan terutamanya memberi kesan ketara kepada mobiliti dan kualiti hidup seseorang.
Untuk pengetahuan anda, osteoartritis dikenali sebagai artritis yang paling lazim berlaku, ia dicirikan oleh kerosakan dan lama kelamaan akan menyebabkan kehilangan rawan pada sendi. Ini sekaligus membuatkan pesakit mengalami kesakitan, kekakuan, kekurangan mobiliti, atau kecacatan.
Penyakit artritis ini biasanya dilihat berlaku kepada individu yang lebih berusia dan biasanya menjejaskan sendi di bahagian lutut, pinggul, dan tangan. Jenis OA yang paling biasa berlaku ialah osteoarthritis lutut, yang menjejaskan lebih 10-20% populasi dewasa Malaysia.
Memahami Osteoartritis Lutut – Ketahui Individu Yang Yang Berisiko Mengalami Osteoartritis Lutut
Menurut analisis yang dijalankan oleh Beijing Osteoarthritis Study, didapati bahawa orang Asia lebih terdedah untuk mendapat OA lutut berbanding OA pinggul yang lebih biasa berlaku kepada populasi Barat.
Ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti:
- jantina dan genetik
- perbezaan struktur badan
- pilihan gaya hidup
- pengaruh persekitaran
- mempunyai penyakit sendi sedia ada
Sebagai contoh, amalan budaya seperti mencangkung dalam komuniti Asia boleh memberikan lebih banyak tekanan pada sendi lutut yang menyumbang kepada berlakunya OA lutut.
Selain itu, tabiat pemakanan, obesiti dan aktiviti berkaitan kerja yang melibatkan pergerakan berulang juga boleh menyebabkan OA lutut – kerap berlaku di kalangan orang Asia.
Harus diingatkan, individu yang lebih muda juga mungkin berisiko jika mereka pernah mengalami kecederaan sendi sebelum ini, seperti patah tulang atau ketegangan, kerana ini boleh mempercepatkan degenerasi rawan.
Seterusnya, individu yang mempunyai masalah sendi yang sedia ada seperti rheumatoid arthritis, gout atau penyakit metabolik seperti diabetes juga berisiko tinggi untuk mendapat OA lutut.
Bukan itu sahaja, menyertai sukan berimpak tinggi seperti larian, bola keranjang dan tenis juga boleh meningkatkan risiko OA lutut dalam kalangan golongan muda. Ini kerana aktiviti ini boleh menyebabkan sendi mengalami beban mekanikal yang berlebihan dan ketegangan berulang, serta menyebabkan kerosakan pada rawan dan sendi seiring masa.
Langkah Pencegahan dan Rawatan Untuk Osteoartritis Lutut
Terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko OA lutut. Ini termasuk mengekalkan berat badan yang sihat untuk mengurangkan ketegangan sendi dan menambah makanan mesra sendi seperti ikan, kekacang dan sayur hijau dan buah beri ke dalam diet anda.
Tambah Dr Yuen, yang merupakan Pakar Perunding Ortopedik, Trauma, Artroplasti dan Robotik di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), selain daripada pengurusan berat badan dan diet seimbang, pengambilan suplemen seperti asid lemak omega 3 dan glucosamine juga boleh membantu mengurangkan risiko mendapat osteoartritis lutut.
Dr Yuen juga menekankan kepentingan menjadikan senaman sebagai sebahagian daripada rutin harian anda untuk mencegah OA lutut.
Terdapat salah tanggapan umum bahawa pergerakan boleh menyebabkan osteoarthritis menjadi semakin teruk dan kurang bergerak adalah lebih baik. Namun, hakikatnya, melibatkan diri dalam aktiviti berimpak rendah seperti berenang, berbasikal dan yoga sebenarnya boleh membantu mengekalkan fleksibiliti dan kestabilan sendi sambil menguatkan otot tanpa meletakkan terlalu banyak tekanan.
Selain itu, perubahan kecil dalam gaya hidup dan aktiviti seharian seperti mengamalkan postur yang baik, berhati-hati semasa mengangkat objek berat, dan memastikan rehat yang mencukupi juga boleh dibuat untuk mengelakkan OA lutut.
Untuk rawatan, terdapat pelbagai pilihan untuk merawat osteoartritis lutut. Pilihan rawatan setempat termasuk ubat-ubatan seperti suntikan kondroitin, steroid dan asid hyaluronik serta prosedur invasif minimum yang dikenali sebagai ablasi radio frekuensi yang menyasarkan saraf di sekeliling sendi.
Sementara untuk jangka panjang, OA juga boleh dirawat menerusi pembedahan Penggantian Sendi Lutut (TKR) – alternatif yang tersedia apabila rawatan setempat tidak lagi berkesan.