Di manakah kawasan atau zon-T (T-zone) pada wajah anda? Bagi yang tidak mengetahui, zon-T yang dimaksudkan adalah di bahagian dahi, hidung dan dagu yang pada umumnya sangat berminyak berbanding kawasan lain pada wajah.
Punca banyaknya minyak pada zon-T wajah adalah disebabkan kehadiran kelenjar sebasea yang lebih banyak di bahagian wajah tersebut. Dan kebiasaannya, kawasan tersebut cenderung mengalami masalah kulit, seperti jerawat atau pori-pori tersumbat.
Kelenjar sebasea merupakan jaringan yang menghasilkan zat minyak yang disebut sebum. Pembentukan sebum di zon-T pada setiap orang boleh berbeza-beza – bergantung kepada usia, genetik, kadar hormon hingga produk kulit yang digunakan.
Sebum berfungsi membuat kulit tetap terhidrasi dan terlindung dari gesekan, misalnya ketika seseorang menggosok wajah. Penyelidikan juga membuktikan sebum mengandungi bahan antimikroba dan anti-radang yang boleh mempengaruhi pertahanan kulit.
Jika dibandingkan antara wanita dan lelaki, penampilan sebum antara lelaki dan wanita juga berbeza yang mana lelaki mempunyai kelenjar minyak yang lebih besar, selain mengandungi reseptor positif untuk androgen pada sel kelenjar.
Dengan ini, lelaki menghasilkan lebih banyak sebum pada kulit berbanding wanita kerana kulit mengeluarkan lebih banyak minyak. Untuk wanita pula, hormon estrogen membuatkan sebum mereka menjadi lebih nipis.
Selain itu, kulit wanita adalah lebih halus dan lembut berbanding lelaki, jadi mereka lebih cenderung untuk mudah mendapat jerawat atau terkena iritasi pada kulit.
Selain hormon, lingkungan dan gaya hidup juga memengaruhi kondisi zon-T wajah. Contohnya penggunaan produk-produk kulit yang tinggi kimia dan produk rawatan kulit berasaskan minyak boleh menyebabkan sel kulit tersumbat sehingga membuatkan kelenjar sebasea meradang.