Carian
Kerjasama antara TYMBA Education dengan ACCA Buka Peluang kepada Rakyat Malaysia ke Arah Penguasaan Kewangan Profesional
May 15, 2024 IrfanNaufal

KUALA LUMPUR, 16 MEI 2024 – Menerusi kerjasama dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), TYMBA Education, sebuah Pusat Kecemerlangan Perakaunan Profesional, akan menjadi penyedia eksklusif Sijil Profesional dalam Penguasaan Kewangan (Certificate of Professional in Financial Mastery), sijil berprestij yang memperkasa pelajar dengan kepakaran kewangan yang diperlukan. Program ini yang bakal dilancarkan pada 25 May telah disesuaikan untuk pelajar bukan perakaunan yang ingin mempelbagaikan peluang pendidikan dan pembangunan professional mereka.

Pasaran pekerjaan hari ini semakin mencabardan dinamik. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), terdapat sejumlah 8.94 juta peluang pekerjaan pada suku keempat 2023. Sementara itu, Tinjauan Penyelidikan Jenama Majikan 2023 oleh Randstad mendedahkan, 85 peratus responden berpendapatpeningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling) adalah penting buat mereka. Justeru, menerusi sijil tersebut, TYMBA Education berhasrat menawarkan peluang kepada mereka yang berminat menceburi bidang perakaunan dan menambah kemahiran kewangan

“Sijil ini direka khas untuk menawarkan asas kukuh dalam pengurusan kewangan dan perakaunan, serta peluang untuk pelajar meningkatkan kebolehpasaran dan memajukan kerjaya mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA Education Group, Airil Razali. “Setelah melengkapkan kursus itu, peserta akan mendapat pengiktirafan rasmi sebagai Certified Professional in Financial Mastery (CPiFM), sekali gus mengesahkan kepakaran mereka dalam menangani soal kewangan yang rumit untuk kejayaan organisasi.”

Program latihan selama 6 bulan itu akan menggunakan pendekatan hibrid, dengan 75% daripada kursus disampaikan secara dalam talian bagi meningkatkan fleksibiliti dan akses, manakala 25% lagi akan dijalankan secara bersemuka di kampus TYMBA Education. Selain itu, kursus ini akan dibahagikan kepada tiga komponen, yang terdiri daripada dua kursus pembelajaran berpandu, FA1 dan MA1, serta satu bengkel modul kajian kes dalam Penguasaan Kewangan Profesional selama dua hari.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan TYMBA Education untuk program Sijil Profesional dalam Penguasaan Kewangan,” kata Ketua Hubungan Pendidikan ACCA Maritim Asia Tenggara, Ang Wen How. Tambah beliau lagi: “Kami menyedari keperluan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mempertingkatkan pendidikan kewangan mereka, dan kami juga sedang berusaha merapatkan jurang kemahiran dalam industri perakaunan. Melalui sijil tersebut dan sokongan kami, peserta boleh yakin mereka akan mendapat pendidikan perakaunan yang mematuhi kelayakan dan piawaian yang diiktiraf di peringkat global.” 

Menerusi program itu, pelajar berpeluang mendalami aplikasi prinsip perakaunan, kewangan korporat dan pembuatan keputusan kewangan, dan konsep-konsep perakaunan lain yang penting. Tambahan pula, sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC) mencerminkan keserasian TYMBA Education dengan inisiatif-inisiatif nasional untuk pembangunan kemahiran dan peningkatan tenaga kerja. Sebagai manfaat tambahan, ia bermakna Sijil itu Boleh Dituntut HRDC (HRDC Claimable).

Program ini akan dipromosikan sempena GRADUAN Aspire Career Fair 2024 yang dijadualkan pada 25 & 26 Mei 2024. Pelajar yang berminat boleh mengunjungi reruai TYMBA untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Komen