Carian
Thomas & Friends Lancar Inisiatif Galakan Kesedaran Autisme Di Malaysia
May 16, 2024 Lina Rosli

Pada bulan April yang lepas telah berlangsungnya kempen Bulan Kesedaran Autisme. Dan selari dengan berjalannya kempen itu, Thomas & Friends memperkenalkan watak Bruno, kenderaan brek autistik baru yang menyertai enjin-enjin di Sodor pada bulan September lalu.

Menerusi pengenalan ini, Thomas & Friends mengalu-alukan ibu bapa dan kanak-kanak untuk belajar lebih lanjut tentang autisme dan individu autistik melalui permainan, dengan harapan mencipta lebih banyak peluang untuk pengajaran kepada kanak-kanak.

Bruno the Brake Car adalah watak autistik pertama yang dicipta oleh Mattel untuk Thomas & Friends. Ia bijak, tenang, dan ceria. Sebagai sebuah kenderaan brek, tugasnya adalah untuk menstabilkan kargo besar dan berat menerusi breknya yang kuat. Kedudukannya di bahagian belakang kereta api, menghadap ke arah bertentangan membolehkan ia melihat dunia dari perspektif berbeza.

Bruno juga sangat mementingkan ketelitian dan gemar akan sesuatu yang rutin; dengan minat khusus terhadap jadual, jadual waktu dan pengetahuan mengenai destinasi semua landasan – membuatkan ia dipercayai untuk membimbing enjin-enjin lain.

Bruno diperkenalkan pada musim ke-26 siri TV, Thomas & Friends: All Engines Go. Ibu bapa dan kanak-kanak yang menonton TV dapat menyaksikan kenderaan brek merah ini bekerja dan bermain bersama rakan-rakan yang menyenangi dan menerima Bruno seadanya. Bruno juga boleh didapati untuk dibeli sebagai sebahagian daripada rangkaian enjin permainan.

Sepanjang kempen ini juga, pasukan Thomas & Friends telah bekerjasama dengan Sunway Carnival Mall untuk menubuhkan sebuah perpustakaan permainan di Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM) cawangan Butterworth.

Setiap kanak-kanak yang di bawah sokongan NASOM Butterworth turut diberikan kereta permainan (diecast) Bruno the Brake Car. Jenama ini juga bekerjasama dengan Sunway Pyramid dan Sunway Velocity merangkumkan 100 “Autsome starter kits” yang mengandungi permainan Thomas & Friends dan Mattel, permainan peranan (role-play) dan buku-buku untuk komuniti B40, sebagai sokongan terhadap usaha capaian Early Autism Project Malaysia (EAP). 

Sempena Bulan Kesedaran Autisme, pembeli yang berbelanja lebih daripada RM80 untuk permainan Thomas & Friends di Toys ‘R’ Us juga menerima mainan diecast Bruno the Brake Car secara percuma.

Komen