Carian
Mengapa Apabila Gugup Atau Gelisah Anda Akan Berasa Sakit Perut?
August 9, 2024 Lina Rosli

Jika dilihat di dalam kehidupan seharian, hampir kesemua perkara memerlukan keseimbangan. Sebagai contoh, untuk mendapatkan latte yang lazat, anda perlu memastikan keseimbangan susu dan air. Atau mungkin juga, ketika masak, jumlah garam dan gula juga perlu diseimbangkan bagi mendapatkan lauk yang enak, dan banyak lagi.

Begitu juga kesihatan usus, ia juga bergantung pada keseimbangan. Ketidakseimbangan dalam komposisi bakteria usus anda, boleh mengganggu penghasilan neurotransmitter penting yang berpotensi menyumbang kepada gangguan mood seperti kegelisahan dan kemurungan.

Kepentingan Keseimbangan Komposisi Bakteria Usus Untuk Kesihatan Mental

Pernahkah anda merasakan perasaan berdebar-debar di perut ketika berasa gugup? Itu adalah disebabkan oleh tekanan pencernaan. Ini kerana usus anda memberi isyarat kepada otak anda, menunjukkan hubungan yang mendalam antara kesihatan usus dan kesejahteraan mental.

Apabila seseorang itu mengabaikan kesihatan usus mereka, ia menyebabkan ketidakseimbangan mikrob usus, dan ini mengakibatkan tahap serotonin dan dopamine yang rendah dalam sistem anda.

Dengan lebih banyak bakteria buruk daripada baik dalam usus, ia juga boleh menyebabkan keradangan, mengganggu komunikasi antara usus dan otak anda. Keradangan melepaskan bahan kimia yang mempengaruhi fungsi otak, termasuk pengawalan mood.

Untuk pengetahuan anda, paksi usus-otak menghasilkan simptom-simptom ini. Apabila kita berasa gelisah, takut, teruja, atau gugup, kita rasakan dahulu di dalam perut kita. Itulah sebabnya ada pepatah yang menggambarkan bahawa kita boleh rasakan sesuatu akan berlaku mengikut rasa di perut.

Paksi usus-otak berfungsi dua hala. Apabila kita berasa tertekan dan gelisah, otak menghantar isyarat ke usus. Kemudian, seseorang itu akan mengalami tekanan pencernaan seperti masalah perut, mual, dan sembelit.

Dan apabila kita mengalami tekanan pencernaan, usus kita menghantar isyarat kepada otak. Ini akan mempengaruhi mood di mana seseorang itu akan berasa gelisah dan tertekan.

Komen