Carian
Decaf Espresso: Kopi Yang Tidak Mengandungi Kafein?
June 13, 2024 Lina Rosli

Jika anda mengunjungi kedai kopi, kafe atau apa-apa restoran, pasti anda pernah perasan yang mana terdapat pilihan minuman iaitu ‘decaffeinated’ atau ‘decaf’ di dalam menu.

Apakah yang dimaksudkan dengan decaf?

Decaf adalah nama lain bagi kopi tanpa kafein. Ia merujuk kepada kopi biasa yang sebahagian besar kafeinnya dikeluarkan sebelum biji kopi itu dipanggang.

Menurut FDA, kopi yang dipasarkan sebagai “tanpa kafein”, ia mesti mengeluarkan sekurang-kurangnya 97 peratus kafein asalnya. Jadinya, secawan kopi tanpa kafein mengandungi kira-kira hanya 2 mg kafein, berbanding secawan kopi biasa yang mempunyai sekitar 95 mg kafein.

Adakah rasa kopi decaf berbeza dengan kopi kafein biasa?

Perkara pertama yang harus anda ketahui mengenai kopi decaf adalah, kopi jenis ini masih lagi boleh menghasilkan minuman espresso sama seperti di dalam menu. Ini bermaksud jika anda memesan latte, flat white, mocha, macchiato, cappuccino ataupun americano, decaf espresso masih lagi mempunyai aroma dan rasa yang sama seperti kopi biasa.

Dengan kata lain, penggemar kopi decaf dapat menikmati semua kelazatan yang dapat diminum oleh peminum kafein.

Bercerita mengenai kopi decaf, ia sebenarnya melalui satu proses yang dinamakan decaffeination.  Di dalam proses ini, kacang kopi akan dipanaskan dan direndam dalam cecair untuk melarutkan dan mengeluarkan kafein. Cara decaffeination dilakukan adalah:

  • sama ada sekadar menggunakan air sahaja
  • menggunakan campuran air dan pelarut seperti methylene chloride atau ethyl acetate digunakan sama ada secara langsung atau tidak langsung
  • atau menggunakan air dan karbon dioksida superkritikal iaitu cecair karbon dioksida yang berada pada atau di atas suhu kritikal dan tekanan kritikal

Kesemua kaedah ini adalah selamat digunakan. Proses selepas kafein dikeluarkan, ia masih lagi akan mengikut proses biasa dalam membasuh, mengukus dan memanggang biji kopi sehingga akhir.

Jadi, adakah decaf espresso berbeza? Jawapannya, ya. Namun, ia hanya berbeza dari segi kandungan kafein sahaja. Dari segi rasa ia masih lagi sama cuma berkemungkinan terasa sedikit rasa masam pada hujungnya.

Kesan Pengambilan Kopi Decaf

Kebanyakan pakar mengatakan proses decaffeination menggunakan karbon dioksida cair tidak menimbulkan risiko kesihatan.

Walau bagaimanapun, untuk proses menggunakan methylene chloride atau ethyl acetatem, ia masih mengandungi beberapa isu kontroversi. Antaranya, apabila dihirup dalam dos kecil, ia boleh menyebabkan batuk dan sesak nafas. Sementara pada dos yang lebih tinggi, ia boleh menyebabkan sakit kepala, mual, muntah, pening dan keletihan.

Namun, pada kajian yang dilaporkan FDA pula, menyimpulkan bahawa jumlah jejak atau kesan penggunaan bahan kimia di dalam decaf espresso adalah terlalu sedikit untuk mempengaruhi kesihatan.

Contoh Decaf Espresso Yang Boleh Anda Cuba

Jika anda berkunjung ke kedai kopi yang tertentu, terdapat beberapa pilihan kopi decaf yang menarik termasuk Cold Brew, Iced Shaken, kopi ais biasa dan juga ais kisar.

Akhir sekali, jika anda memesan kopi decaf, harus diingatkan bahawa kopi ini masih lagi mengandungi kafein di dalamnya.

Oleh itu, jika anda tergolong dalam kumpulan individu yang tidak boleh mengambil kafein atau mempunyai kesan sampingan ke atas pengambilan kafein, anda disarankan untuk merujuk kepada pakar untuk tindakan lanjut.

Sumber: NY Times Ncausa Org Grounds To Brew

Komen