Walaupun sesetengah individu boleh minum kopi tanpa memberikan kesan buruk ke atas tubuh mereka, namun terdapat juga segelintir individu yang lebih sensitif terhadap kafein mungkin akan menghadapi beberapa kesan sampingan – walaupun mereka hanya mengambil sedikit sahaja.
Sensitif atau tidak, apabila seseorang telah mengambil lebih banyak kafein daripada yang boleh dikendalikan oleh badan mereka, ia cenderung menjejaskan kualiti tidur mereka. Dan ini akan mengakibatkan keletihan.
Tambahan, kafein dalam kopi adalah perangsang, minum beberapa cawan sehari boleh meningkatkan tindak balas tekanan anda, dan berpotensi membawa kepada peningkatan kebimbangan.
Oleh itu, terdapat beberapa faedah yang boleh anda nikmati sekiranya anda mengurangkan pengambilan kopi dalam rutin harian anda.
Kualiti tidur yang lebih baik
Memandangkan minum kopi boleh mengganggu kitaran tidur anda, mengurangkan atau menghapuskan pengambilan kafein harian anda boleh membantu mengubah keadaan.
Kafein yang terdapat dalam kopi menyekat reseptor adenosin, dan untuk tubuh anda, hormon adenosin amatlah diperlukan untuk menggalakkan tidur.
Mengurangkan kebimbangan
Pengambilan kafein yang tinggi juga boleh menyebabkan sesetengah individu mengalami peningkatan dalam kebimbangan.
Kebimbangan boleh datang dengan banyak masalah kesihatan, daripada kesihatan jantung yang lemah, kepada tekanan darah tinggi, sekaligus membuatkan kitaran tidur yang tidak betul. Dengan mengelakkan kafein dalam kopi, kita juga boleh mengelakkan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan, tahap kebimbangan kita.
Tahap tenaga yang lebih konsisten
Apabila anda mengurangkan pengambilan kopi, kadar kebergantungan badan terhadap kafein berkurangan, membawa kepada tahap tenaga yang lebih konsisten.
Selain itu, kerana kekurangan kafein boleh membawa kepada kualiti tidur yang lebih baik, ia meningkatkan peluang anda untuk bangun dengan rasa segar.
Kesihatan penghadaman bertambah baik
Jika perut dan sistem penghadaman anda mempunyai kesan sampingan selepas minum kopi, berhenti minum kopi boleh membantu keadaan kembali normal.
Ini kerana kafein boleh merengsakan lapisan perut dan meningkatkan pengeluaran asid, yang membawa kepada gejala ketidakselesaan perut pada segelintir individu.