Carian
Seiko Mengemaskini Rekaan Koleksi King Seiko Tahun 1969 – Menampilkan Warna Dail Yang Lebih Moden
June 10, 2024 Lina Rosli

Diilhamkan daripada rekaan koleksi King Seiko yang dilancarkan pada tahun 1969, jenama jam tangan mewah Seiko ini hadir dengan siri baharu yang memfokuskan elemen vintaj untuk model King Seiko KS1969 iaitu SJE109, SJE111 dan SJE113.

Selepas kejayaan siri kedua koleksi King Seiko, dikenali sebagai KSK, mereka hadir dengan pelbagai bentuk dan rekaan kerangka yang menarik selain turut memperlihatkan banyak kemajuan dalam teknologi dan kreativiti reka bentuk.

Untuk model kali ini, King Seiko menampilkan rekaan bercirikan siluet melengkung mengilhami reka bentuk ciptaan sebelum ini. Siri King Seiko baharu menggunakan kontur jam tangan 1969 tetapi membayangkannya semula untuk zaman moden.

Jam tangan ini menampilkan gelang berbilang baris baharu dengan kemasan berkilau apabila dipantulkan cahaya.

Ia juga memperkenalkan rekaan gelang tangan baharu dengan pautan lebih pendek – digabungkan dengan sarung yang sedikit nipis bagi memastikan keselesaan pada pergelangan tangan.

Menggabungkan tradisi dengan unsur kontemporari Tokyo

Siri baharu King Seiko ditawarkan dengan pelbagai pilihan dail – iaitu warna perak, ungu dan hijau. Dail perak bertekstur untuk membangkitkan pemandangan bandar Tokyo zaman moden, tempat koleksi King Seiko dilahirkan pada tahun 1961.

Dail ungu pula merupakan imej warna tradisional Jepun yang dikenali sebagai “ungu Edo,” yang digunapakai semasa Zaman Edo.

Manakala dail hijau menampilkan keindahan semula jadi yang boleh dinikmati di kebanyakan bahagian bandar Tokyo selama berabad-abad.

Bagi yang berminat, tiga jam tangan King Seiko ini boleh didapati di Butik Seiko dan rakan kongsi runcit terpilih di seluruh dunia bermula Julai 2024.

Komen