Carian
Adakah Anda Kidal Atau Mengutamakan Penggunaan Tangan Kanan Untuk Melakukan Aktiviti Harian?
July 29, 2024 Lina Rosli

Secara umumnya, keutamaan penggunaan tangan sama ada kidal atau tangan kanan (right-handed) ataupun kedua-duanya – dikenali sebagai ambidekstrus yang bermaksud berkebolehan menggunakan kedua-dua tangan dengan sama baiknya boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk genetik dan persekitaran.

Ada sesetengah individu lebih selesa atau mengutamakan tangan kanan untuk menulis, menggunting, mengambil barang dan melakukan kebanyakan aktiviti. Namun, terdapat juga segelintir individu yang menggunakan tangan kiri sebagai tangan utama mereka.

Keutamaan tangan menjadi semakin ketara pada zaman kanak-kanak awal dan cenderung konsisten sepanjang hayat.

Menurut pakar, perbezaan dalam keutamaan tangan ini mula timbul apabila meningkat umur – sebahagian daripada proses perkembangan yang membezakan bahagian kanan dan kiri badan yang juga dipanggil asimetri kanan-kiri.

Untuk pengetahuan anda, kekuatan dan keutamaan tangan ini ditentukan oleh kawalan otak. Kebiasaannya, individu yang mengutamakan tangan kiri ini dikawal oleh hemisfera otak kiri – dan sebaliknya untuk tangan kanan.

Individu yang mengutamakan penggunaan kiri atau orang kidal didapati mempunyai asimetri otak yang berbeza berbanding dengan orang tangan kanan. Kajian menunjukkan bahawa kawasan otak yang terlibat dalam ingatan kerja, bahasa, kawalan tangan, dan penglihatan menunjukkan struktur yang sedikit berbeza. Perbezaan ini mungkin mempengaruhi cara orang kidal memproses informasi dan menjalankan tugas-tugas kognitif.

Biasanya, hemisfera kiri otak lebih dominan dalam kalangan orang yang menggunakan tangan kanan, terutamanya untuk fungsi bahasa dan logik. Namun, dalam kalangan orang kidal, dominasi hemisfera ini mungkin kurang ketara. Orang kidal sering menunjukkan peningkatan aktiviti dalam hemisfera kanan untuk beberapa tugas, menunjukkan bahawa otak mereka mungkin lebih fleksibel dalam mengagihkan fungsi antara kedua-dua hemisfera.

Kesan Genetik Dan Persekitaran Kepada Keutamaan Tangan

Seperti yang dinyatakan di atas, terdapat dua faktor utama yang boleh mempengaruhi keutamaan tangan.

  1. Genetik. Dalam kajian yang dilakukan oleh pakar, mereka juga mengenal pasti gen tertentu yang berkaitan dengan asimetri otak. Ini menunjukkan bahawa genetik mempunyai peranan dalam menentukan kecenderungan seseorang untuk menjadi kidal atau menggunakan tangan kanan. Namun, ada juga dalam kes lain yang mana ibu bapa yang kidal tidak melahirkan anak yang kidal.
  2. Persekitaran Pranatal. Berkenaan dengan persekitaran dan juga gaya hidup masyarakat sekeliling mempengaruhi keutamaan tangan ini, kebarangkalian untuk ini berlaku adalah rendah. Namun, ia tidak mustahil. Ini dikaitkan juga dengan faktor ibu bapa yang menggunakan tangan kiri, cenderung untuk mempengaruhi keutamaan tangan anak mereka. Ini disebabkan juga oleh susun atur rumah yang mana, jika ibu bapa atau terdapat keluarga terdekat yang kidal, biasanya barang-barang kelengkapan dan susunan barang diletakkan mengikut keutamaan tangan mereka dan ini secara tidak langsung menggalakkan penggunaan tangan kiri sebagai tangan utama.

Walau bagaimanapun, harus diingatkan juga, sekiranya keutamaan tangan ini dikawal secara paksaan, ini sedikit sebanyak akan menyebabkan beberapa komplikasi – tidak kira untuk tangan kanan atau tangan kiri. Antara komplikasi yang boleh berlaku ke atas individu termasuklah disleksia, masalah lambat bertutur, gagap dan sebagainya.

Seperti banyak sifat kompleks lain, percubaan untuk menukar tangan dengan latihan yang konsisten akan melemahkan ekspresi fungsi kidal dalam kawasan motor peringkat tinggi (dominan).

Dengan lebih banyak kajian seperti ini, kita boleh mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana otak kita berfungsi dan bagaimana perbezaan kecil dalam genetik boleh membawa kepada variasi dalam fungsi otak. Kajian ini adalah langkah penting ke arah memahami kompleksiti otak manusia dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan seharian kita.

Komen