Carian
Perbezaan Facial Filler Dan Botoks? Ketahui Kesan Jangka Panjang Rawatan Kosmetik Pada Kulit
July 12, 2024 Lina Rosli

Facial filler atau turut dikenali sebagai dermal filler merupakan rawatan kosmetik yang kini menjadi pilihan oleh kebanyakan individu.

Untuk pengetahuan anda, facial filler (pengisi dermal) merupakan proses suntikan bahan sintetik atau bahan semula jadi ke dalam tisu muka untuk mengurangkan penampilan kedutan dan juga penuaan pada kulit. Suntikan ini juga turut dikenali sebagai suntikan implan, pengisi kedutan dan pengisi tisu lembut yang rata-rata individu melakukannya sama ada pada bibir, pipi, kening dan banyak lagi.

Apakah Perbezaan Antara Facial Filler Dan Botoks?

Secara umumnya, pengisi dermal dan botoks adalah rawatan kosmetik dan di kebanyakan masa, kedua-dua terma ini seringkali digunakan secara bergantian.

Namun, hakikatnya, kedua-dua pengisi dermal dan botoks adalah tidak sama.

Facial filler atau terma Bahasa Melayu dipanggil pengisi dermal ialah bahan seperti gel, biasanya mengandungi asid hyaluronik, yang disuntik di bawah kulit untuk mengurangkan lipatan, melicinkan garis, memulihkan ketegangan kulit yang hilang atau meningkatkan kontur wajah.

Pengisi dermal ini merupakan cara jimat kos untuk memastikan kulit kelihatan lebih muda – tanpa memerlukan pembedahan.

Berbeza dengan botoks, ia merujuk kepada suntikan perubatan yang digunakan untuk mengendurkan otot, di mana pengisi adalah suntikan yang digunakan untuk menggebukan atau menegangkan kembali kulit.

Botoks mengandungi bakteria tulen yang membekukan otot. Dengan berbuat demikian, Botoks boleh membantu meminimumkan penampilan garis dan kedutan yang disebabkan oleh ekspresi muka. Sementara pengisi dermal mengandungi bahan yang menambah volume pada kawasan lapisan yang telah menipis akibat penuaan.

Sementara di Malaysia pula, trend ini dilihat mula memuncak pada tahun 2019 yang lalu yang mana menurut Wiley Journal of Cosmetic Dermatology, kebanyak individu di Malaysia memilih untuk melakukan suntikan ini bagi mengekalkan penampilan awet muda, berseri atau mendapatkan wajah lebih menarik.

Apakah Jenis Facial Filler Yang Terdapat Di Malaysia?

Untuk pengetahuan anda, terdapat dua jenis pengisi dermal yang tersedia di pasaran iaitu:

#1 Suntikan Pengisi Dermal Jangka Pendek

Jangka pendek merujuk kepada kesan sementara pengisi selepas suntikan. Bahan yang biasa digunakan adalah asid hyaluronik. Asid hyaluronik dihasilkan sebagai zarah halus tetapi terdapat variasi komposisi untuk tujuan suntikan dangkal atau lebih dalam.

Bahan ini akan bertahan sekitar 9 hingga 12 bulan dan selepas itu hyaluronik akan mula hancur. Kesan asid hyaluronik juga dapat dibalikkan oleh enzim yang disebut hyaluronidase. Oleh itu, suntikan berulang akan dilakukan yang mana memerlukan individu kembali ke klinik untuk mendapatkan rawatan dermal seterusnya bagi mencapai kesan yang diinginkan.

#2 Suntikan Pengisi Kekal

Sementara untuk jenis kekal pula, ia menggunakan bahan seperti kalsium hidroksiapatit, polimetil metakrilat dan silikon.

Bahan-bahan ini apabila disuntik di bawah kulit akan kekal selama-lamanya. Pembuangan pembedahan juga sangat sukar kerana bahannya akan melekat pada kulit.

Apakah Bahagian Muka Yang Sering Disuntik Oleh Individu?

Pengisi dermal yang paling biasa digunakan atau dilakukan oleh kebanyakan individu adalah:

  • Palung pemedih mata
  • Lipatan Hidung (nasolabial folds)
  • Sudut mulut
  • Garisan Marionette
  • Pipi
  • Bibir
  • Dagu
  • Hidung

Pengisi dermal umumnya mempunyai dua cara suntikan iaitu melibatkan penambahan kuantiti tisu dalam kulit dan juga stimulator.

Penambahan kuantiti tisu atau volumizers adalah pengisi sementara yang menambah isi ke kawasan apabila disuntik yang mana biasanya ia akan menjadi kurang dari masa ke masa dan perlu diulang rawatan. Untuk suntikan ini, ia biasanya melibatkan suntikan seperti pengisi asid hyaluronik.

Manakala untuk stimulator, ia adalah bahan yang lebih kekal yang merangsang fibroblast di bawah dermis dan mempromosikan pembentukan kolagen. Kebanyakan pengisi jatuh ke dalam salah satu kategori dan bilangan prosedur yang diperlukan bergantung pada jenis rawatan.

Apakah Kesan Rawatan Kosmetik Ini Untuk Jangka Masa Panjang?

Disebabkan ia melibatkan penambahan pengisi ke dalam dermis atau bahagian kulit, ia sudah tentu akan mengganggu kitaran pertumbuhan tisu dan kolagen semula jadi dalam tubuh.

Kebanyakan pengisi dermal ini dikatakan boleh bertahan sekitar 6 hingga 18 bulan, namun sebenarnya untuk beberapa kes, ia turut boleh mengakibatkan pengisi tersebut kekal untuk tempoh yang lebih lama iaitu sekitar 10 tahun.

Menuru Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong pada sesi temubual bersama The Star, terdapat 10 kes rawatan komestik yang melibatkan pengisi dermal yang rosak sejak 2013. Ia berikutan ia mungkin disebabkan oleh penerimaan rawatan dari doktor tanpa lesen dan juga kurangnya pengetahuan tentang jenis pengisi yang diterima atau dicadangkan oleh klinik yang dipilih.

Disebakan terdapat pelbagai jenis pengisi dermal yang ada di pasaran, makanya anda perlu mengetahui apakah rawatan yang bersesuaian mengikut keadaan kulit anda dan pembentukan kedutan pada kulit. Sekiranya tidak, ia boleh menyebabkan gangguan pada kulit sekaligus boleh menyebabkan kulit anda kelihatan bengkak apabila tempoh rawatan telah tamat.

Mengapa Anda Perlu Mengelakkan Dari Mendapatkan Rawatan Pengisi Dermal?

Berikut adalah beberapa risiko atau kesan jangka pendek dan jangka panjang yang boleh dialami oleh pelaku pengisi dermal:

  • Pertama, anda akan mendapati bahawa kulit anda akan kelihatan merah, bengkak dan meradang. Ada segelintir kes ia akan mengaktifkan penumbuhan jerawat, gatal-gatal dan ruam.
  • Kedua, bagi and ayang mempunyai alahan atau alergi, ia mungkin boleh menyebakan gangguan pada salur darah sehingga boleh menyebabkan pendarahan.
  • Bukan itu sahaja, ia juga tidak selamat digunakan untuk para ibu yang mengandung dan menyusukan anda. Ia keranan suntikan ini mengandungi beberapa bahan kimia yang tidak sesuai untuk hormon tubuh.
  • Akhir sekali, untuk jangka masa panjang juga, ia boleh menyebabkan kesan parut, keloid dan juga pertumbuhan tisu parut.

Jadi, anda sudah mengetahui kesan pengisi dermal ini kepada kulit dan juga kesihatan. Jadinya, anda perlu memastikan bahawa anda tidak terpengaruh dengan iklan yang dipaparkan di dalam platform media sosial akan kelebihan pengisi dermal ini.

Untuk selamat, anda juga perlu memastikan bahawa pengisi dermal ini dilakukan di klinik yang mempunyai lesen rawatan.

Komen