Sejak dua dekad lepas, insiden denggi di peringkat global telah meningkat dan kini memberi kesan kepada kira-kira 129 buah negara. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kes telah meningkat daripada 500,000 pada tahun 2000 kepada 5.2 juta pada tahun 2019.
Di Malaysia sahaja, kes-kes denggi telah meningkat secara signifikan dengan 123,133 kes dilaporkan pada 2023 – sekaligus mencatatkan peningkatan 86.3% dibandingkan dengan tahun sebelumnya.
Kematian berkaitan denggi juga meningkat kepada 78.6%, dengan kes tertinggi bertumpu di Selangor. Pada suku pertama 2024, sebanyak 41,565 kes dilaporkan dan 28 kematian dikaitkan dengan komplikasi demam denggi, yang menunjukkan peningkatan berbanding dengan tempoh yang sama pada 2023.
Takeda Malaysia mengumumkan pelancaran Qdenga, vaksin untuk pencegahan demam denggi yang disebabkan oleh kesemua empat serotip virus denggi.
Untuk pengetahuan anda, Qdenga telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia berdasarkan data meluas yang menunjukkan keberkesanan, keselamatan dan kualitinya. Vaksin ini tersedia untuk individu berusia 4 tahun dan ke atas – kini boleh didapati di kebanyakan hospital dan klinik swasta di seluruh negara.
Menurut Takeda, ujian klinikal Qdenga mencatatkan keberkesanan vaksin (VE) di dalam mencegah kes denggi bergejala mencapai sekitar 80.2% – 12 bulan selepas vaksinasi. Selain itu, Qdenga turut menunjukkan keberkesanan dalam mencegah kes kemasukan hospital akibat denggi sebanyak 90.4% – iaitu 18 bulan selepas vaksinasi.
Merujuk kepada data pemeriksaan susulan yang bertempoh empat setengah tahun (54 bulan), Qdenga menunjukkan perlindungan berterusan secara keseluruhan dan diterima dengan baik secara amnya, dengan VE yang berterusan sebanyak 84.1% terhadap denggi yang memerlukan kemasukan hospital dan 61.2% terhadap denggi bergejala.
Untuk Qdenga, vaksin ini telah diluluskan di lebih daripada 30 buah negara termasuk Kesatuan Eropah, United Kingdom, Brazil, Argentina, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan negara-negara memperkenalkan Qdenga kepada program imunisasi awam di negara-negara dengan keamatan jangkitan denggi yang tinggi menjadi punca masalah kesihatan awam yang signifikan.
Qdenga baru-baru ini telah dimasukkan ke dalam Senarai Vaksin Pra-Layak WHO, yang mengukuhkan kualiti dan kesesuaian untuk digunakan dalam program-program vaksinasi awam.
Rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan nasihat daripada doktor mereka serta ahli profesional penjagaan kesihatan di hospital dan klinik swasta untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksin bagi mencegah dan melindungi daripada denggi.