Keperluan Segera Untuk Menderma Darah di Malaysia – Hanya 2.2% Rakyat Malaysia Sahaja Yang Menderma Darah Dalam Setahun
Lina Rosli
Secara umumnya, proses pemindahan darah yang diamalkan kebanyakan hospital di seluruh dunia merupakah salah satu inisiatif yang digunapakai untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang menjalani pembedahan kompleks, mengalami kehilangan darah akibat trauma atau bersalin, mengalami penyakit kronik dan gangguan darah, dan juga semasa pengurusan kanser
Di Malaysia, program derma darah sukarela adalah penting untuk mengekalkan bekalan darah dan produk darah yang selamat dan mencukupi. Sebagai salah satu daripada 60 negara di seluruh dunia yang mengamalkan model ini, negara ini bergantung pada muhibah penderma yang memberikan darah dan komponennya secara bebas.

Untuk pengetahuan anda setakat ini, hanya 2.2% rakyat Malaysia sahaja menderma darah dalam setahun berbanding 3.5 hingga 5% di negara maju. Ini menunjukkan yang mana bekalan darah yang tersedia di hospital-hospital di Malaysia masih lagi terhad dan tidak dapat menampung bilangan permintaan darah dan produk darah yang semakin meningkat di negara ini.
Menurut Menteri Kesihatan kita Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, negara memerlukan lebih ramai penderma darah untuk mengekalkan “zon selamat” stok darah bagi memenuhi permintaan harian negara sekurang-kurangnya 2,000 beg darah.
Kadar derma darah pra-pandemik ialah 22.8 penderma bagi setiap 1,000 orang, yang menurun kepada 19.7 hingga 22.5 penderma bagi setiap 1,000 penduduk antara tahun 2020 hingga tahun 2022. Harapan untuk meningkatkan bilangan penderma adalah tinggi, yang mana sama seperti sasaran Kementerian Kesihatan, bilangan penderma yang disasarkan adalah sekitar 35 hingga 40 penderma bagi setiap 1,000 penduduk menjelang 2030.
Keperluan Golongan Muda Untuk Membantu Mencapai Sasaran Peningkatan Bilangan Penderma Darah
Bagi merancakkan pendedahan akan kepentingan menderma darah, golongan muda dari umur 17 tahun diajak untuk tampil ke hadapan bagi membantu mencapai matlamat ini.
Pada tahun 2023, sebanyak 675,315 beg darah berjaya dikumpulkan di seluruh negara. Pencapaian ini dicapai hasil usaha dan komitmen bersama penganjur kempen dan penderma.
Terdapat pelbagai inisiatif yang telah dijalankan termasuk pembukaan pusat derma darah bergerak di kebanyakan negeri di seluruh Malaysia selain turut menggunakan kaedah pendidikan yang inovatif dan penglibatan pelajar muda untuk mempromosikan dorongan derma darah berasaskan sekolah/kolej/universiti.

Faedah Menderma Darah Untuk Individu
Baca juga: Ketahui Keistimewaan Menjadi Seorang Penderma Darah Di Malaysia
Tidak ramai yang menyedari faedah yang mereka perolehi apabila mereka menderma darah. Satu faedah ialah ia membantu mengekalkan kesihatan tisu dan organ dengan meningkatkan peredaran darah kepada mereka.
Bukan itu sahaja, menderma darah juga memastikan keseimbangan mineral (lebih-lebih lagi iron) dalam badan dan mengurangkan risiko pengerasan dan penyempitan arteri akibat pengumpulan iron di dindingnya.
Antara faedah-faedah kesihatan yang lain termasuk:
- Mengurangkan risiko serangan jantung dengan mengurangkan penyumbatan arteri sekaligus meningkatkan aliran darah,
- Mengurangkan zat besi dalam darah dapat mengurangkan risiko kanser kerana zat besi adalah sumber radikal bebas penyebab kanser, iaitu atom tidak stabil yang boleh merosakkan sel dan mengubah fungsinya.

Bukan itu sahaja, menderma darah berfungsi sebagai phlebotomy terapeutik – suatu prosedur di mana mengeluarkan darah keseluruhan adalah seperti rawatan untuk mengurangkan zat besi yang berlebihan dan bilangan sel darah merah dalam badan terutamanya bagi individu yang mempunyai penyakit darah seperti hemochromatosis keturunan, polycythemia vera, dan lain-lain keadaan yang jarang berlaku.
Selain itu, terdapat banyak keistimewaan perubatan yang ditawarkan kepada penderma di Malaysia, seperti rawatan pesakit luar percuma dan vaksinasi Hepatitis B, antara lain. Menjadi penderma darah adalah cara mudah untuk menyumbang kepada komuniti anda.
Semak dengan hospital tempatan atau pusat derma darah untuk mengetahui di mana dan bila anda boleh menderma.
Artikel oleh Dr Farzana Rizwan dan Dr Imam Shaik, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perubatan, Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan, Universiti Taylor.