Carian
Bagaimanakah Cara Membezakan Daging Lembu Dan Daging Kambing Yang Belum Dimasak?
June 18, 2024 Lina Rosli

Apabila tiba Hari Raya Aidiladha, pasti ramai dalam kalangan anda yang melakukan ibadah korban – atau mungkin menerima pemberian daging korban dari saudara mara ataupun jiran berdekatan.

Dan apabila menerima jumlah yang banyak, sudah tentu hanya sebilangan daging sahaja yang sempat dimasak, sementara yang selebihnya akan disimpan di dalam peti sejuk.

Pernahkah di antara anda yang sering mengalami kekeliruan dan sukar untuk membezakan antara dua jenis daging merah iaitu daging lembu dan daging kambing?

Bagi anda yang mungkin tidak sempat melabel pek daging yang ingin disimpan di dalam peti sejuk, anda mungkin boleh mengenalpasti perbezaan antara daging lembu dan daging kambing menggunakan cara ini.

Tips 1: Perhatikan Warna Dan Lemak Daging

Daging kambing biasanya berwarna merah sedikit lebih gelap jika dibandingkan dengan daging lembu. Ini disebabkan oleh paras mioglobin kedua-dua haiwan ini adalah berbeza. Warna daging kambing yang cenderung lebih gelap, lebih pekat adalah disebabkan oleh bilangan mioglobin yang meningkat dengan usia, namun, ia juga mungkin disebabkan oleh perubahan jenis makanan apabila musim berubah.

Namun, kadangkala mengenalpasti warna daging mungkin tidak memberikan jawapan yang tepat. Cara lain yang boleh anda lakukan adalah dengan mengenalpasti ketulan lemak di pinggir daging atau di dalam kepingan daging.

Kebiasaannya, lemak kambing terasa lebih keras berbanding lemak daging lembu. Jika anda menekan ketulan lemak, lemak daging lembu biasanya akan lebih anjal dan lembik, manakala lemak kambing pula keras dan berkemungkinan mudah hancur jika ditekan terlalu kuat.

Selain itu, sewaktu anda membersihkan dan mencuci lemak pada daging itu sendiri, anda mungkin akan perasan bahawa daging kambing berasa sedikit berminyak sementara daging lembu tidak.

Tips 2: Periksa Bau Dan Tekstur Daging

Daging kambing mempunyai aroma yang cenderung lebih kuat, atau yang biasa disebut “hamis”, sementara daging lembu pula mempunyai bau yang tidak terlalu kuat – lebih-lebih lagi setelah dicuci dan dibuang lemak.

Namun, untuk kambing, bau dagingnya lebih konsisten walaupun selepas dimasak atau dicampurkan bersama rempah ratus. Disebabkan itu juga, ramai individu yang memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan bau dan rasa daging kambing. Walau bagaimanapun, daging kambing akan menjadi lebih lembut dan sangat lazat apabila direbus, dibakar atau dipanggang.

Selain itu, daging kambing mempunyai serat yang lebih tebal sehingga teksturnya lebih kasar dan terasa lebih lembut apabila dipegang. Sementara itu, serat daging lembu lebih kecil dan lebih longgar (jarak-jarak), dan apabila dipegang, ia berasa lebih lembut dan licin.

Potongan Bahagian Daging Dan Padanan Menu

Untuk pengetahuan anda juga, untuk sesetengah bahagian daging, ia sebenarnya mempunyai kesesuaian yang berbeza di dalam masakan. Sebagai contoh, jika anda mendapat daging lembu yang diambil dari bahagian bawah rusuk ke bahagian luar, ia lebih sesuai dimasak sebagai stik.

Sementara potongan daging dari bahagian tengah badan lembu pula sesuai untuk dimasak di dalam masakan yang ditumis, seperti kari daging, daging masak merah, daging lada hitam dan sebagainya.

Manakala, potongan daging dari bahagian bawah dada pula sesuai untuk direbus atau dimasak lama seperti sup soto, rendang atau bebola daging.

Akhir sekali, ekor lembu yang diambil daripada tulang ekor adalah bahan yang sesuai untuk dimasak di dalam sup atau lauk kuah.

Komen