Carian
Mengapa Anda Selalu Berasa Penat? Adakah Ini Tanda-Tanda Anda Mengalami Sindrom Kelesuan Kronik?
June 21, 2024 Lina Rosli

“Mengapa saya sangat letih walaupun saya cukup tidur malam tadi?”

“Semua orang fikir saya malas, tetapi saya sentiasa kepenatan.”

Pernahkah anda mengalami keadaan di mana anda berasa penat walaupun telah mendapatkan rehat yang secukupnya? Jika ya, anda sebenarnya mungkin mengalami sindrom Kelesuan Kronik atau Chronic Fatigue Syndrome (CFS).

Untuk pengetahuan anda, CFS ini adalah keadaan perubatan yang dicirikan oleh keletihan melampau yang tidak dapat dijelaskan oleh keadaan perubatan yang mendasarinya. Keletihan ini tidak hilang dengan berehat dan cenderung bertambah buruk selepas individu melakukan aktiviti fizikal yang ekstrim.

Secara umumnya, data mengenai CFS di Malaysia masih lagi tidak meluas – sekaligus menjadikannya agak kurang popular dalam kalangan individu. Disebabkan itu juga, kebanyakan individu tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan rawatan.

Oleh itu, untuk mengetahui lebih lanjut tentang CFS ini, terdapat beberapa perkara yang perlu anda perhatikan seperti gejala dan tanda-tanda CFS, cara diagnosis dan sebagainya.

Mengapa Anda Selalu Berasa Penat?

Secara perubatan, ia dikenali sebagai Ensefalomielitis Mialgik (ME) dan pakar tidak dapat mengenal pasti apakah punca CFS. Ia kadangkala boleh berlaku selepas jangkitan virus seperti COVID-19, walaupun tidak dikaitkan dengan sebarang jangkitan tertentu.

Faktor-faktor yang mungkin boleh menyebabkan anda berasa penat termasuklah:

  • penyakit keradangan seperti arthritis
  • keadaan psikologi seperti kemurungan
  • perubahan hormon seperti menopaus

Gejala boleh datang dan pergi dan sangat berbeza kepada setiap individu. Kebanyakan pesakit melaporkan gejala-gejala CFS seperti berikut: 

  • kelesuan yang tidak hilang selepas berehat atau tidur
  • kesukaran untuk memberi tumpuan 
  • kelemahan otot
  • sensitif melampau kepada bau-bauan, bahan kimia, cahaya atau bunyi-bunyian
  • masalah penghadaman seperti sindrom usus merengsa  
  • kesakitan sendi dan otot tanpa melakukan senaman, bengkak atau kemerahan 

Bagaimanakah Cara Untuk Mendiagnosis Kelesuan Kronik?

CFS hanya boleh didiagnosis berdasarkan gabungan gelaja-gejala yang dihidapi, bersama beberapa siri ujian untuk menolak kemungkinan punca-punca yang lain.  

Menurut Dr Serena yang merupakan Ketua Jabatan dan Ahli Psikologi Klinikal di Fakulti Perubatan IMU University, individu perlu mengenali dan memahami keadaan tubuh badan terlebih dahulu seperti:

  • Kenalpasti apa yang diperlukan oleh tubuh badan anda dan apa yang cuba diberitahu kepada anda. Atasi keperluan asas terlebih dahulu.
  • Dapatkan rehat yang cukup dan makan makanan seimbang. Jika asasnya betul, anda mungkin akan berasa lebih baik dalam beberapa minggu. Tetapi, jika masih tidak berasa lega selepas mencubanya, anda mungkin memerlukan nasihat perubatan.

Selain itu, dapatkan nasihat doktor bagi membantu mengenal pasti dan menolak kemungkinan adanya masalah kesihatan lain, seperti keadaan autoimun seperti penyakit lupus, keletihan, kemurungan atau isu-isu kesihatan lain.

Untuk mengesan gejala dan pemantauan CFS ini, ia boleh mengambil masa selama berminggu-minggu, bahkan mungkin berbulan-bulan. Jika berkaitan, doktor anda juga akan merujuk anda kepada seorang atau lebih pakar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kesan Kelesuan Kronik Kepada Individu

CFS berbeza untuk setiap individu. Oleh sebab itu, cara rawatannya juga mungkin berbeza. Dan apa yang penting adalah sokongan secara mental perlu diberikan kepada individu yang mengalaminya.

Berdasarkan perkongsian, terdapat segelintir individu yang mangalami CFS ini sering berasa dipinggirkan oleh sesetengah kelompok. Ada juga yang melaporkan bahawa doktor, majikan atau orang tersayang gagal memahami mereka dengan baik apabila diterangkan mengenai gejala yang dihadapi.

Ini boleh menjadi sukar terutamanya bagi mereka yang biasa aktif dan bersosial, yang kini terpaksa mengurangkan tanggungjawab tertentu, aktiviti fizikal, perhimpunan sosial dan banyak lagi.

Tiada rawatan atau penawar khusus bagi CFS. Namun, pengurusan kesakitan boleh memainkan peranan penting untuk melegakan gejala, di samping menyesuaikan gaya hidup. Selain itu, Dr Serena menyarankan pesakit berjumpa ahli psikologi klinikal atau kaunselor untuk mendapatkan sokongan dalam memproses perubahan besar dalam hidup mereka. 

Komen