Carian
Ketahui Jenis-Jenis Fabrik Untuk Tudung Yang Popular Dalam Kalangan Jenama Fesyen Di Malaysia
June 21, 2024 Lina Rosli

Jika dibandingkan dengan industri fesyen pada zaman awal 2000-an, tidak dinafikan pada masa kini terdapat banyak pilihan tudung yang ada di dalam pasaran. Malah yang lebih menarik, cara penggayaan hijab pada masa kini juga semakin berkembang – yang mana ia boleh dilihat menerusi perkongsian kandungan di media sosial.

Berbincang mengenai hijab juga, antara faktor utama pemilihan sesuatu tudung ataupun jenama sebenarnya adalah bergantung kepada jenis fabrik yang digunakan. Memilih fabrik yang tepat boleh membuat perbezaan besar dalam keselesaan dan gaya.

Setiap jenis fabrik atau kain tudung mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang jenis-jenis fabrik ini, Tajria akan berkongsikan kepada anda beberapa jenis fabrik untuk tudung yang popular yang digunakan oleh kebanyakan pemain industri fesyen tempatan – dan apa yang membuatkan setiap satu istimewa, dan jenama-jenama ini menggunakannya.

#1 Tudung Chiffon

Menjadi antara jenis fabrik yang terawal digunakan oleh kebanyakan pemain industri, fabrik jenis chiffon sebenarnya bukan sahaja menawarkan keselesaan kepada si pemakai, tetapi juga chiffon juga sebenarnya bersifat ringan dan sejuk, sesuai untuk cuaca panas.

Fabrik Chiffon ini juga mempunyai beberapa pilihan fabrik seperti:

  • Chiffon Poliester: Jenis chiffon yang tahan kedutan. Namun, fabrik ini tidak sehalus chiffon sutera.
  • Chiffon Sutera: Lebih ringan dan lembut, chiffon sutera memberikan sentuhan premium kepada si pemakai.
  • Chiffon Korea: Terkenal disebabkan jenis fabrik yang halus. Chiffon dari Korea biasanya menampilkan corak yang menarik dan warna yang cerah.

Jenama Popular:

  • dUCk Scarves
  • Sugarscarf
  • Alhumaira
  • Ariani

#2 Fabrik Kapas (Cotton)

Jika keselesaan adalah keutamaan anda, kapas adalah pilihan terbaik. Ia lembut, menyerap peluh, dan sangat selesa dipakai sepanjang hari. Tudung kapas datang dalam pelbagai ketebalan, jadi anda boleh pilih yang sesuai dengan cuaca. Namun, ia mungkin kelihatan agak kasual untuk majlis formal.

Jenama Popular:

  • Naelofar
  • Calaqisya

#3 Satin Sutera

Satin mempunyai kilauan yang menawan dan tekstur licin, menjadikannya sesuai untuk acara formal dan majlis istimewa.

Kain ini memberikan penampilan anggun, tetapi boleh menjadi agak licin dan sukar dibentuk tanpa pin atau inner. Satin juga kurang menyerap peluh, jadi mungkin tidak sesuai untuk jangka masa panjang dalam cuaca panas.

Jenama Popular:

  • Lulufrangi
  • Waarna
  • dUCkscarves
  • Tudung People
  • Buttonscarves
  • Alhumaira

Selain satin sutera, terdapat juga satin kusam (matte satin) yang menawarkan kilauan yang lebih kusam berbanding satin sutera yang lebih licin dan ringan.

#4 Jersi

Material jersi terkenal dengan kelembutannya dan keanjalan yang tinggi. Tudung jersi sangat mudah dipakai kerana ia tidak memerlukan banyak penyelarasan dan tetap kemas sepanjang hari tanpa pin. Ia juga bagus untuk aktiviti harian dan gaya hidup aktif kerana menyerap peluh dengan baik.

Jenama Popular:

  • dUCkscarves
  • Naelofar
  • Ariani

6. Voile

Voile adalah material ringan dan lut sinar yang sangat selesa dan membenarkan aliran udara yang baik. Tudung voile sangat sesuai untuk cuaca panas kerana ia tidak memerangkap haba. Walaupun mudah dibentuk, voile mungkin memerlukan lapisan tambahan atau inner tudung untuk mengelakkan ia terlalu lut sinar.

  • Tudung People
  • dUCk Scarves
  • Naelofar
  • Buttonscarves
  • Hijanah
  • Tudungruffle

Untuk pengetahuan anda juga, terdapat jenama tudung yang turut memperkenalkan campuran fabrik seperti Korean Polyvoile Cotton, Chiffon Georgette, Fluff dan banyak lagi.

Memilih fabrik tudung yang tepat bergantung pada keperluan, cuaca, dan acara yang dihadiri. Setiap fabrik mempunyai kelebihan dan kekurangan yang boleh disesuaikan dengan gaya dan keperluan harian anda.

Dengan memahami ciri-ciri setiap fabrik dan mengetahui jenama yang menawarkan rekaan tersebut, anda boleh membuat pilihan yang lebih bijak dan menikmati pemakaian tudung yang lebih selesa dan bergaya.

Komen