Tahukah anda bahawa madu merupakan salah satu makanan tertua di dunia – yang diketahui manusia dan memiliki keunikan luar biasa?
Untuk pengetahuan anda, madu merupakan satu-satunya makanan yang tidak pernah rosak – tidak berkulat ataupun dimasuki bakteria. Bayangkan, anda menyimpan sebotol madu di pantri dan anda menemuinya semula 10 tahun kemudian.
Mengapa madu tidak rosak? Jawapannya, madu mempunyai sifat unik yang menjadikannya tahan lama. Kandungan gula yang tinggi dan air yang rendah mencipta persekitaran yang sukar bagi bakteria untuk hidup.
Ditambah pula dengan pH rendah dan enzim glukosa oksidase yang dihasilkan oleh lebah, madu menghasilkan hidrogen peroksida yang membantu mengekalkan kebersihan dan keselamatan madu itu.
Namun harus diingatkan, hanya madu asli sahaja yang akan tahan lama dan tidak rosak. Ini kerana madu asli adalah hasil daripada lebah yang mengumpul nektar bunga dan mengubahnya menjadi madu melalui proses enzimatik.
Sebaliknya, madu tiruan atau madu palsu adalah campuran madu asli dengan sirap gula atau bahan lain yang meniru rasa madu. Madu tiruan tidak memiliki sifat antibakteria dan pengawet semula jadi yang sama seperti madu asli.
Oleh itu, madu tiruan lebih mudah rosak dan tidak tahan lama seperti madu asli. Madu tiruan juga tidak memberikan manfaat kesihatan yang sama seperti madu asli, kerana kekurangan enzim, antioksidan, dan bahan bioaktif lain yang terdapat dalam madu asli.
Manfaat Kesihatan Madu
Untuk pengetahuan anda juga, bukan sahaja madu tidak rosak, tetapi ia juga penuh dengan manfaat kesihatan. Antara manfaat yang boleh anda peroleh:
- Madu mempunyai sifat antibakteria dan anti-radang, yang bagus untuk penyembuhan luka dan melembapkan kulit.
- Madu sebagai ubat semula jadi untuk melegakan batuk dan sakit tekak.
- Madu membantu melindungi tubuh daripada kerosakan sel akibat radikal bebas.
Cara Menyimpan Madu
Persoalannya di sini, oleh kerana madu tidak mudah rosak, adakah anda masih perlu menyimpannya dengan baik?
Jawapannya, cara penyimpanan yang betul boleh memastikan madu kekal segar dan sedap. Simpan madu dalam bekas kedap udara dan letakkan di tempat yang sejuk dan gelap. Ingat, elakkan daripada terdedah kepada haba yang tinggi untuk mengekalkan enzim semula jadi dalam madu.