10 Tempat Sarapan Menarik Di Selangor – Edisi 2024

June 25, 2024
destinasi

Lina Rosli

Khusus buat anda yang ingin menerokai kedai makan ataupun kafe yang menyajikan hidangan sarapan menarik seperti nasi lemak dan roti canai ataupun masakan antarabangsa seperti English Breakfast, ini adalah beberapa cadangan tempat sarapan yang boleh anda terokai – di seluruh Selangor.

#1 Roti Cana Kari Kambing, Sungai Besar

Gabungan roti canai dan kari kambing, sememangnya tidak dapat dinafikan lagi kelazatannya. Jadinya, bagi anda yang singgah ke Sungai Besar, jangan ketinggalan untuk mencuba Roti Canai Kari Kambing di Sungai Besar – yang menjadi tarikan utama penduduk setempat dan pengunjung yang datang ke Sabak Bernam.

Selain roti canai, kedai makan ini turut menyediakan sarapan pagi tradisional Melayu yang lain seperti pulut sambal, nasi lemak, kuih-muih dan lain-lain.

#2 Roti Canai Pelangi, Kuala Selangor

Pernahkah anda menemui roti canai selain daripada warna yang biasa? Jika tidak, anda mungkin tidak ingin ketinggalan dalam mencuba Roti Canai Pelangi di Kuala Selangor.

Kedai ini menghidangkan roti canai berwarna-warni dengan perisa yang berbeza bagi setiap warna – merah berperisa strawberi, kuning berperisa jagung, oren berperisa durian, biru berperisa keladi, dan hijau berperisa epal.

Sama seperti roti canai lain, Roti Canai Pelangi menawarkan perasa yang tidak terlalu kuat, selain mengekalkan kelembutan dan gebu roti. Ia dihidangkan bersama pelbagai pilihan kari seperti kari kambing, kari daging dan kari kaki ayam.

Jika pelanggan ingin mencuba hidangan lain, anda juga boleh mencuba nasi ambeng, pecal, laksa, lontong, dan banyak lagi.

#3 Kopi Fino, Klang

Di Kopi Fino yang terletak di Klang, ia menyajikan sarapan pagi sepanjang hari. Antara sajian sarapan yang boleh anda cuba termasuklah Big Fino Breakfast, Ayam Percik dengan roti sourdough, dan juga roti bakar sourdough dengan sos beri.

Selain itu, mereka turut menyajikan minuman unik untuk dicuba oleh penggemar matcha dan houjicha seperti matcha red bean dan houjicha chocolate.

#4 Tingkap Cafe, Petaling Jaya

Menjadi antara kafe kegemaran penulis, Tingkap Cafe di Old Town Petaling Jaya menawarkan hidangan sarapan pagi ala-ala kopitiam

Antara makanan yang dihidangkan ialah Roti Jala, Lontong, Mee Rebus, Lempeng Kelapa bersama Sambal Ikan Bilis, Kari Laksa dan banyak lagi. Selain itu, kafe ini juga menawarkan hidangan dalam bungkusan kertas yang menampilkan menu-menu sarapan pantai timur.

#5 Restoran Ubi Kayu, Subang Jaya

Sebuah restoran sarapan tradisional Melayu yang terkenal di kalangan penduduk tempatan dan pengunjung di kawasan itu dengan pelbagai jenis masakan tradisional Melayu seperti roti jala dengan kari ayam, asam laksa, mee rojak, soto, lontong, nasi lemak pandan, me kari dan pelbagai jenis kuih muih tradisional Melayu yang dijual pada harga hanya 50 sen.

#6 Breakfast Room, Bukit Jelutong

Jika anda mencari kafe yang menyajikan sarapan barat dengan ruang makan yang Instagrammable, anda boleh berkunjung ke Breakfast Room, Bukit Jelutong.

Beberapa pilihan menu sarapan pagi mereka termasuklah mufin, sandwic, telur dan roti bakar serta kopi dan teh.

#7 Char Kuey Teow Aunty Gemuk, Kelana Jaya

Char Kuey Teow Aunty Gemuk adalah antara hidangan popular di Lembah Klang. Dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM4.50 sepinggan, ramai pelanggan akan datang dan memilih gerai ini sebagai tempat sarapan kegemaran mereka.

Hidangan ini sesuai untuk anda yang menggemari jenis Char Kuey Teow pedas – membezakannya daripada gerai char kuey teow yang lain. Selain itu, mereka juga menghidangkan laksa kari yang enak dan menyelerakan.

#8 Kampung Hills Eatery, Kuala Langat

Tempat sarapan ini mempunyai suasana kampung – namun menawarkan juadah bercitarasa barat. Ramai penduduk tempatan dan pengunjung akan datang ke restoran ini untuk merasai pelbagai jenis perisa barat dan tempatan yang unik, seperti Egg in Purgatory, kacang pool, nasi lemak, kuey teow goreng, mee udang goreng, ayam crispy chop dengan nasi goreng dan banyak lagi.

#9 Mak O Mak Cafe, Taman Malawati

Di antara Hulu Langat dan Gombak, Mak O Mak Cafe merupakan restoran kafe tulen yang menyajikan masakan tempatan dan masakan barat. Ia dibuka seawal 8 dan kafe ini sesuai terutamanya untuk penggemar kopi dan penggemar roti bakar kerana kafe ini menawarkan pelbagai sarapan jemput-jemput cepat seperti roti bakar telur goyang , sandwic croissant dan roti bakar biasa.

Selain itu, Mak O Mak Cafe juga menyediakan pelbagai pilihan kopi untuk dicuba oleh pelanggan. Kafe menyajikan harga yang berpatutan dan hidangan dengan kuantiti yang banyak.

13. MAK O MAK CAFE, TAMAN MALAWATI

#10 Roti Leleh Batu Arang, Selayang

Restoran Roti Leleh Batu Arang ialah tempat sarapan kegemaran warga tempatan di kawasan itu dan destinasi popular di kalangan penunggang basikal yang datang untuk berehat dan menikmati hidangan sarapan pagi ini.

Ia menawarkan roti lembut yang dipanggang di atas arang, kemudian dimakan dengan telur separuh masak, secubit kicap manis, dan kacang merah yang lazat di atasnya. Selain itu, terdapat juga hidangan lain yang dihidangkan, seperti mee kari, lontong dan soto, serta lemang dan rendang daging.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd