Baru-baru ini, kedai serbaneka bilabila mart telahpun hadir dengan penjenamaan semula untuk logo dan konsep kedai – yang mana ia tampil dengan vibes yang lebih muda dan lebih berani.
Bersempena dengan pengenalan identiti dan logo baharu, bilabila mart telah membuka kedai mercu pertama dan terbesar mereka di Millerz Square, Jalan Klang Lama. Menggunakan konsep kedai sehenti, di bangunan 2 tingkat ini, BilaBila Mart memperkenalkan dua penawaran baharu iaitu – bilabila mart dan Bila Box.
Logo Dan Identiti Baharu bilabila mart
Komited dalam menjadi kedai serbaneka yang serba lengkap, bilabila mart hadir dengan rangkaian produk yang lebih luas – bermula daripada barangan keperluan harian kepada makanan ringan daripada pelbagai jenama tempatan. Malah, mereka turut menawarkan barangan segar untuk memasak dan juga sajian sedia dimakan untuk anda yang mempunyai rutin yang sibuk.
Bercakap mengenai logo dan pemilihan warna baharu bilabila mart, jenama kedai serbaneka ini memilih tipografi yang lebih moden – menggunakan huruf kecil untuk kesemua perkataan “bilabila mart”.
Jika dibandingkan dengan muka taip yang dahulu yang lebih bulat dan kembang, muka taip baharu ini lebih tampak kemas dan minimalis – dipadankan dengan susunan tanda miring “/” dan huruf “i” jenis italic pada logo. Menurut bilabila mart, tanda miring yang digunakan merujuk kepada penawaran produk mereka yang pelbagai.
Manakala dari segi warna pula, bilabila mart menggunakan tiga warna utama iaitu warna putih, kuning, jingga dan pirus. Gabungan kesemua warna ini menjadikan jenama ini kelihatan lebih versatile dan segar – sama ada sebagai kedai serbaneka, kafe ataupun lain-lain.
Penawaran Barang Dapur Terus Dari Ladang, Kafe Dan Ruang Kerja Sejawat
Selain daripada penawaran produk-produk harian yang ditawarkan di kebanyakan kedai serbaneka, bilabila mart nampaknya bergerak selangkah ke hadapan berbanding sebelumnya yang mana jenama ini hadir dengan satu ruang khas yang mempromosikan barang keluaran tempatan – bilabila Pun Sapot Lokal.
Di sini, anda boleh mendapatkan produk-produk tempatan kegemaran anda seperti minuman dari ZUS Coffee, set bahan dapun dari Bibik Express, snek Bite-Bites dan Truly Gourmet dan banyak lagi.
Manakala untuk anda yang ingin mendapatkan bahan-bahan mentah seperti sayur dan keperluan lain, bilabila mart menampilkan penawaran yang segar dari ladang Cameron Highlands.
Seterusnya di bilabila cafe, anda boleh mendapatkan pastri, kek dan minuman kegemaran anda yang mana semuanya ditawarkan pada harga yang berpatutan.
Selain daripada kafe, bagi anda yang berkunjung ke kedai mercu bilabila mart, anda boleh mencuba pengalaman bekerja di ruang kerja sejawat Bila Box, yang dibuka 24 jam setiap hari.
Ruang kerja ini terbuka kepada orang ramai yang mana anda boleh menjamu selera, bersantai dan menjadi lebih produktif.
Menarik bukan? Nampaknya, dengan pengenalan logo baharu ini, sama-sama kita nantikan pelbagai pembaharuan, termasuk pada identiti, bungkusan produk, media sosial, pengiklanan dan sebagainya oleh bilabila mart selepas ini.