Terletak pada ketinggian 830 meter di atas paras laut, Bukit Bendera merupakan salah satu tarikan utama yang perlu anda lawati di Pulau Pinang.
Bukit Bendera bukan sahaja menawarkan pemandangan panoramik yang menakjubkan tetapi juga turut merupakan destinasi yang menampilkan pelbagai aktiviti dan tarikan menarik. Sinonim dengan nama Bukit Bendera juga adalah Kereta kabel Bukit Bendera yang telah diperkenalkan sejak tahun 1923 – merupakan salah satu kereta api kabel tertua di Asia Tenggara.

Pada asalnya, kereta kabel ini dibina untuk memudahkan akses perjalanan kepada penduduk Eropah yang tinggal di kawasan tersebut semasa zaman penjajahan British. Namun kini, ia menjadi antara tarikan utama sekiranya anda tiba di Pulau Pinang.
Untuk pengetahuan anda, Kereta Kabel Bukit Bendera telah melalui beberapa kali proses naik taraf untuk meningkatkan kecekapan dan keselesaan penumpang. Tidak terkecuali pada tahun ini, lokasi ini sekali lagi melalui fasa penambahbaikan infrastruktur bagi mengubah destinasi bersejarah itu menjadi destinasi yang wajib dikunjungi.
Di dalam pelan perancangan mereka, kerja-kerja naik taraf ini akan melibatkan peningkatan infrastruktur, memperbaiki ketersambungan dan akses ke Bukit Bendera, di samping merawat semula keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti di Bukit Bendera.
Projek ini akan dijalankan oleh Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Hartasuma Sdn Bhd dan dijangka siap pada suku ketiga tahun 2026.

Projek ini juga akan melibatkan penambahan sistem kereta kabel yang akan menyediakan pilihan kedua untuk menaiki bukit – ini sekaligus mengurangkan tekanan kepada tren funikular yang mana ia selari dengan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang (2021-2030) serta Wawasan 2030 Pulau Pinang.
Kereta kabel ini akan berfungsi sebagai pintu masuk ke Rizab Biosfera Bukit Bendera, yang merupakan salah satu Rizab Biosfera UNESCO.
Jajaran kereta kabel ini akan bermula dari stesen Taman Ekonomi yang sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera – menampilkan 3 stesen stesen taman, gelung belokan dan stesen bukit.
Laluan kereta kabel ini adalah sepanjang 2.73 kilometer dan akan dilengkapi dengan 50 gondola lapan tempat duduk, dengan masa perjalanan kurang dari 10 minit.
Semua infrastruktur utama dalam pembangunan ini dibina berpandukan kepada pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) tahap Emas.

Lain-lain penambahbaikan dan peningkatan infrastruktur di Bukit Bendera:
- Projek ini juga akan mempertingkatkan dan mencantikkan lagi kawasan Taman Botani Pulau Pinang dengan infrastruktur serta landskap yang lebih baik dan kawasan hijau untuk rekreasi.
- Pembangunan Plaza Komersial akan menyediakan 700 ruang parkir berbumbung untuk kenderaan persendirian dengan kawasan parkir bas yang khusus bakal dibuka bersebelahan Jabatan Taman Botani.
- Pengenalan perkhidmatan bas elektrik yang menghubungkan stesen Taman Botani dengan stesen funikular Air Itam.
- Kemudahan akses: Tanjakan, lif, laluan pejalan kaki berbumbung, akses tanpa tangga, kawasan mengambil dan menurunkan penumpang,
- Kemudahan tambahan: Tandas, tempat duduk, bilik menyusu bayi, kios maklumat, dan sebagainya.