Aneka Makanan Tempatan Yang Wajib Anda Cuba – Dari Char Kuey Teow Hingga Ke Mee Bandung

July 3, 2024
fakta menarik

Lina Rosli

Malaysia memang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan makanannya yang memikat selera. Di setiap sudut jalan, anda boleh menemui pelbagai jenis makanan dan hidangan yang bukan sahaja sedap tetapi juga mampu menggamit kenangan.

Mari kita terokai beberapa makanan dan hidangan yang paling popular di Malaysia, yang pastinya membuatkan anda terliur.

#1 Nasi Lemak

Tak lengkap rasanya bercakap tentang makanan jalanan Malaysia tanpa menyebut nasi lemak. Hidangan ikonik ini terdiri daripada nasi yang dimasak dengan santan dan daun pandan, dihidangkan dengan sambal pedas, ikan bilis rangup, kacang tanah, telur rebus, dan timun.

Nasi lemak bukan sahaja popular sebagai sarapan pagi tetapi juga menjadi pilihan sepanjang hari. Antara gandingan lauk yang unik bersama nasi lemak termasuklah sayur kangkung goreng, sup tauhu, rendang dan banyak lagi.

#2 Char Kuey Teow

Char Kuey Teow adalah satu lagi hidangan jalanan yang wajib dicuba. Ia menggunakan mi beras yang berbentuk lebar atau dipanggil kuey teow yang digoreng bersama kicap, telur, taugeh, kucai, udang, dan kerang, di atas api besar.

Ditumis sehingga muncul aroma wangi memenuhi udara. Char Kuey Teow merupakan antara hidangan popular jika anda berkunjung ke negeri-negeri di utara seperti Pulau Pinang dan Perak.

#3 Sate

Sate atau satay adalah daging yang diperap dan dicucuk pada lidi buluh sebelum dibakar hingga sempurna.

Daging ini boleh terdiri daripada ayam, daging lembu, atau kambing, dan dihidangkan dengan kuah kacang yang pekat, bawang merah dan timun. Antara jenama sate yang popular di Malaysia termasuklah Sate Kajang Haji Samuri ataupun Satay Winnie yang terletak di Bangi.

#4 Apam Balik

Apam balik adalah sejenis pancake tebal yang diisi dengan campuran kacang tanah, jagung manis dan gula.

Di Malaysia, apam balik ditawarkan dalam dua versi sama ada tebal dan nipis. Yang tebal memberikan tekstur yang gebu dan lembut, manakala yang nipis pula rangup dan berkrim.

#5 Rojak

Rojak pula merupakan salad buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan yang dihidangkan dengan kuah pekat yang manis dan pedas.

Bahan-bahan utama untuk menyediakan rojak termasuklah sengkuang, timun, tauhu, taugeh, kentang dan banyak lagi. Selain rojak petis dan rojak buah, terdapat juga pasembur yang mempunyai bahan tambahan seperti udang goreng, telur rebus dan cucur.

#6 Cendol

Cendol salah satu hidangan pencuci mulut popular di Malaysia. Hidangan ini terdiri daripada jeli hijau yang dibuat daripada tepung beras, dihidangkan dengan santan, gula melaka, dan ais kisar.

Namun, ada juga sesetengah individu yang akan menambah cendol dengan beberapa perisa lain seperti kacang merah, durian, mangga dan sebagainya.

#7 Laksa

Laksa adalah mi dalam kuah yang kaya dengan rasa. Terdapat pelbagai jenis laksa di Malaysia, seperti Laksa Penang yang berasaskan asam, Laksa Sarawak yang berkrim dengan rasa kari, Laksa Johor yang mempunyai kuah yang sedikit kering dan banyak lagi.

Setiap jenis laksa mempunyai keunikan tersendiri, menjadikannya hidangan yang tidak boleh anda terlepas untuk mencubanya.

#8 Keropok Lekor

Keropok lekor adalah makanan ringan yang popular di negeri-negeri pantai timur seperti Terengganu dan juga bahagian timur Johor seperti Mersing.

Dibuat daripada campuran ikan dan tepung sagu, ia diuli menjadi bentuk panjang dan digoreng hingga rangup. Dihidangkan dengan sos cili manis dan pedas, keropok lekor adalah snek yang wajib dicuba apabila berkunjung ke pantai timur.

#9 Nasi Dagang

Nasi dagang adalah hidangan tradisional yang popular di Kelantan dan Terengganu. Nasi ini dimasak dengan santan dan dihidangkan bersama gulai ikan tongkol yang kaya dengan rempah. Kombinasi nasi yang lemak dan gulai yang berperisa membuatkan hidangan ini digemari ramai.

#10 Otak-Otak

Otak-otak adalah makanan jalanan yang terkenal di selatan Malaysia, terutamanya Johor. Dibuat daripada campuran ikan atau makanan laut yang dicampur dengan rempah ratus, kemudian dibungkus dalam daun pisang dan dibakar. Hasilnya adalah hidangan yang beraroma dan penuh dengan rasa rempah yang kaya.

Jika di pantai timur, otak-otak ini sedikit berlainan yang mana menggunakan isi ikan semata dan kemudian dimasak bersama rempah kari. Terdapat juga makanan bakar lain seperti sata dan pulut panggang.

#11 Mee Bandung

Mee bandung adalah hidangan mi yang kuahnya yang pekat dan berempah. Kuah diperbuat menggunakan daripada campuran udang, cili, dan pelbagai rempah lain, dihidangkan dengan mi kuning, taugeh, dan telur rebus.

Mee bandung adalah pilihan yang sempurna untuk mereka yang mencari hidangan yang mengenyangkan dan penuh rasa.

Menarik bukan? Makanan dan hidangan yang diperkenalkan di atas merupakan cerminan kepelbagaian budaya dan rasa yang ada di negara Malaysia. Setiap hidangan membawa cerita dan warisan tersendiri, memberikan pengalaman yang unik kepada sesiapa yang mencubanya.

Dari utara ke selatan, timur ke barat, Malaysia penuh dengan kelezatan yang menanti untuk dinikmati. Jadi, lain kali jika anda berjalan-jalan di Malaysia, jangan lupa untuk mencuba makanan yang menyelerakan ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd