Perubahan Trend Solekan Dari Dulu Hingga Kini
Lina Rosli
Secara umumnya, solekan juga sebenarnya tergolong dalam kategori seni. Cuma yang membezakannya adalah, seni ukiran, seni tenunan, seni lukisan dan seni yang lain dilakukan pada objek atau kanvas bukan hidup, tetapi seni solekan menggunakan individu sebagai kanvas untuk memperlihatkan keseniannya.
Untuk pengetahuan anda lagi, solekan juga tergolong dalam kategori seni yang sentiasa berubah mengikut masa. Dari era klasik hingga trend terkini, solekan telah mengalami pelbagai transformasi yang dipengaruhi oleh budaya, teknologi dan ikon kecantikan.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perubahan solekan pada zaman dahulu hingga kini, Tajria hari ini akan berkongsikan beberapa perbezaan ketara yang boleh anda setiap jenis solekan ini.
Solekan Pada Era 1920-an
Pada tahun 1920-an, kebanyakan wanita menggemari gaya solekan yang dramatik yang mana mereka menggayakan warna gincu yang memukau – bibir merah gelap dan solekan mata smoky. Melengkapkan solekan adalah hiasan kening tipis.
Pada era ini, gaya solekan ini mencerminkan perubahan sosial yang besar pada era tersebut, di mana wanita mula mengejar kebebasan dan ekspresi diri yang lebih besar. Solekan menjadi cara untuk mengekspresikan identiti dan kedudukan mereka dalam masyarakat yang semakin berubah.

Solekan Era 1950-an
Era 1950-an menyaksikan solekan yang lebih klasik dan lebih elegan. Pada era ini, para wanita menggemarkan solekan yang memperlihatkan kulit yang bersih, bibir merah terang bersama solekan mata yang memikat.
Ketika ini, eyeliner winged atau dikenali juga sebagai solekan mata cat eye menjadi trend utama solekan. Marilyn Monroe dan Audrey Hepburn adalah ikon kecantikan yang menjadi pujaan ramai.
Penampilan kedua-dua ikon yang unik dan mempesona membuat mereka dikenali di seluruh dunia. Gaya ini menonjolkan kecantikan yang klasik dan glamor, yang menjadi idaman ramai wanita pada zaman tersebut.

Solekan Era 1980-an
Berbeza pada era sebelum ini, pada zaman 1980-an, para wanita mula dipengaruhi oleh kebangkitan muzik pop dan rock. Tahun 1980-an, mereka membawa gaya solekan yang tebal dan berani dengan bayangan mata berwarna terang dan bibir merah jambu. Rambut yang besar dan tebal juga menjadi satu keperluan. Madonna adalah salah satu ikon besar pada masa ini.

Solekan Era 1990-an
Era 1990-an menyaksikan solekan yang lebih semula jadi, hampir sama dengan zaman sekitar tahun 1950-an. Cumanya, solekan pada 1990-an ini, para wanita menginginkan hasil yang kelihatan matte dan menggunakan warna-warna tanah pada bibir dan mata.
Supermodel seperti Cindy Crawford dan Naomi Campbell menjadi trendsetters dengan gaya solekan mereka yang minimalis tetapi elegan.

Solekan Era 2000-an
Awal 2000-an pula, ramai selebriti Hollywood mula menggayakan solekan yang lebih eksperimental. Solekan mata pada tahun 2000-an sering kali menonjolkan kontur wajah dengan highlight yang tajam, menggunakan pembayang mata yang berkilau dan penggaris mata yang lebih halus.

Untuk bibir pula, mereka menggayakannya dengan warna yang berani ditambah dengan gloss yang berkilat. Teknik ‘contouring’ dan ‘highlighting’ mulai menjadi trend tetapi tidak digunakan dengan begitu meluas.
Secara keseluruhan, solekan pada tahun 2000-an menunjukkan eksperimen yang lebih berani dan tampilan yang lebih ‘glam‘ dan berkilauan, mencerminkan perubahan dalam budaya kecantikan yang lebih global dan terbuka.
Solekan Era 2020-an
Hampir sama dengan solekan tahun 2000-an, solekan pada era 2020-an menampilkan pelbagai trend yang bervariasi, dari gaya yang natural hingga yang berani, dipengaruhi oleh pengaruh besar media sosial dan selebriti.
Teknik kontur menjadi sangat popular dengan penggunaan pencahayaan dan bayangan untuk menonjolkan ciri wajah seperti tulang pipi dan hidung. Kening yang tebal dan dramatik juga menjadi tren utama.

Di samping itu, penggunaan lipstik matte dalam warna-warna berani seperti merah dan nude, serta teknik overlining untuk menambah volume bibir turut mendominasi trend solekan pada masa itu.
Manakala untuk pembayang mata, ramai selebriti menggunakan teknik ‘cut crease‘ yang menonjolkan lipatan mata dengan warna kontras dan dilengkapi dengan glitter – menjadi pilihan mereka yang suka solekan yang berani dan kreatif.
Solekan Masa Kini
Trend solekan masa kini sangat pelbagai, dari penampilan semula jadi hingga solekan yang lebih artistik dan avant-garde. Pempengaruh kecantikan di media sosial, seperti YouTube dan Instagram, memainkan peranan besar dalam mempengaruhi trend.
Produk seperti bedak asas yang memberikan kesan solekan glass skin dan palet bayangan mata dengan warna-warna berani adalah sangat popular. Pada masa kini juga, solekan yang diperlihatkan turut menekankan akan kesihatan kulit dengan penggunaan kosmetik yang minimal – dan fokus pada produk penjagaan kulit.
Antara jenis-jenis solekan popular di serata dunia termasuklah:
- E-girl Makeup: Gaya solekan yang menonjolkan mata dengan penggunaan pembayang mata yang berwarna-warni dan penggaris mata yang tebal. Melengkapkannya adalah penggunaan bulu mata palsu yang dramatis dan warna bibir matte yang berani.
- Solekan ‘No-makeup’: Solekan yang menekankan kecantikan semula jadi. Tidak menggunakan warna-warna berani tetapi mengutamakan teknik-teknik penggunaan bedak asas ringan yang bersatu dengan kulit, warna pemerah pipi yang lembut dan bibir dengan lipstik atau lip tint dalam warna semula jadi.

Perubahan dalam trend solekan dari masa ke masa menunjukkan bagaimana budaya, teknologi, dan ikon kecantikan mempengaruhi cara kita mempersembahkan diri.
Setiap era membawa identiti unik yang mencerminkan nilai dan estetika zamannya, dan trend masa kini terus berkembang dengan pengaruh digital dan inovasi produk yang tidak pernah berhenti.