Tips Memilih Snek Sihat Untuk Sesi Maraton Drama Bersiri Di Hujung Minggu

July 5, 2024
Tips

Lina Rosli

Menonton drama bersiri secara berturut-turut atau binge watching boleh menjadi pengalaman yang mengasyikkan. Mana tidaknya, dari satu episod ke episod yang seterusnya tanpa henti membolehkan anda terus mengikuti jalan cerita tanpa gangguan. Dan semestinya ini memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh dan memuaskan kerana tiada cliffhanger yang perlu ditunggu sehingga minggu berikutnya.

Di samping anda menonton drama, pasti akan ada snek ringan yang mudah untuk dinikmati – dengan ini ia sekaligus memberikan pengalaman seakan menonton drama di pawagam.

Namun, harus diingatkan, sekiranya anda maraton drama terlalu lama, anda perlu mempertimbangkan pengambilan snek yang sihat. Ini kerana memilih snek yang sihat sangat penting untuk menjaga kesihatan sepanjang sesi menonton.

Snek sihat membantu mengekalkan tenaga, meningkatkan fokus, dan mengelakkan masalah kesihatan jangka panjang seperti obesiti dan diabetes. Berikut adalah beberapa cadangan snek yang tidak hanya sedap tetapi juga baik untuk kesihatan anda.

#1 Buah-buahan Segar

Buah-buahan seperti epal, anggur, dan beri bukan sahaja mudah disediakan tetapi juga kaya dengan serat dan vitamin. Kandungan serat yang tinggi membantu anda merasa kenyang lebih lama dan memberikan tenaga yang diperlukan sepanjang sesi menonton.

#2 Kacang dan Biji-bijian

Gantikan bertih jagung yang manis kepada makanan seperti kacang badam, walnut, dan biji chia – kerana ia adalah sumber protein dan lemak sihat.

Elakkan kacang yang bergaram atau bergula. Protein dari kacang ini akan membantu mengekalkan tenaga dan memberi rasa kenyang yang berpanjangan.

#3 Bertih Jagung Rendah Lemak

Jika anda tidak menggemari kekacang, mungkin anda boleh mempertimbangkan bertih jagung yang dimasak tanpa mentega – cadangan untuk mendapatkan snek rendah kalori dan tinggi serat.

Sekiranya anda ingin mendapatkan rasa yang lebih kuat, mungkin anda boleh menambah sedikit rempah atau herba untuk rasa tambahan tanpa kalori berlebihan.

#4 Yogurt dan Granola

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menggabungkan yogurt rendah lemak atau tanpa gula dengan granola. Kemudian, tambahkan buah-buahan segar atau madu untuk menambah rasa manis secara semula jadi tanpa gula tambahan.

#5 Smoothie Buah

Selain itu, smoothie buah adalah cara yang baik untuk mendapatkan nutrisi dalam bentuk yang menyegarkan. Campurkan pelbagai buah, yogurt, dan sedikit madu untuk smoothie yang lazat dan sihat.

#6 Coklat Gelap

Sekiranya anda ingin mendapatkan pemanis mulut seperti coklat, mungkin anda boleh memilih coklat gelap dengan kandungan koko lebih daripada 70%.

Coklat gelap mengandungi antioksidan yang baik untuk kesihatan dan membantu mengurangkan keinginan untuk makanan manis.

#7 Minuman yang Sihat

Selain snek, pastikan juga minuman yang diambil adalah sihat. Teh hijau, air mineral, atau jus buah tanpa gula tambahan adalah pilihan yang baik. Elakkan minuman bersoda atau berkafein tinggi yang boleh menyebabkan dehidrasi.

Memilih snek yang sihat semasa menonton drama bukan sahaja membantu mengekalkan kesihatan tetapi juga meningkatkan pengalaman menonton. Jadi, cubalah snek-snek ini dan nikmati maraton drama anda dengan lebih sihat dan bertenaga!

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd