Isu kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pakar kesihatan.
Ini kerana, kekurangan zat ini bukan sahaja menyebabkan kanak-kanak tidak mendapat bekalan nutrisi yang mencukupi tetapi juga mengakibatkan prevalens kanak-kanak menjadi lebih pendek (ketinggian terbantut) dan mempunyai berat badan yang lebih ringan berbanding rakan sebaya mereka.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) Malaysia, terdapat trend peningkatan dalam kekurangan berat badan dan ketinggian terbantut dalam kalangan kanak-kanak sejak sedekad yang lalu.


Trend ini bukan sahaja mengehadkan keupayaan mereka untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti tetapi juga memberi kesan kepada pertumbuhan dan perkembangan keseluruhan mereka. Menangani isu ini melalui intervensi awal dan pemakanan yang mencukupi adalah penting untuk memastikan kanak-kanak mencapai potensi fizikal dan kognitif sepenuhnya.
Berapakah Tinggi Ideal Untuk Kanak-Kanak?
Di bawah ini adalah jadual untuk ketinggian yang ideal untuk kanak-kanak perempuan dan lelaki yang berumur sekitar 2 hingga 15 tahun.
Kanak-Kanak Perempuan
Umur | Berat badan | Ketinggian |
---|---|---|
2 tahun | 12.02 kg | 85.5 cm |
3 tahun | 14.29 kg | 94 cm |
4 tahun | 15.42 kg | 100.3 cm |
5 tahun | 17.92 kg | 107.9 cm |
6 tahun | 19.96 kg | 115.5 cm |
7 tahun | 22.45 kg | 121.1 cm |
8 tahun | 25.85 kg | 128.2 cm |
9 tahun | 28.12 kg | 133.3 cm |
10 tahun | 31.98 kg | 138.4 cm |
11 tahun | 36.97 kg | 144 cm |
12 tahun | 41.5 kg | 149.8 cm |
13 tahun | 45.81 kg | 156.7 cm |
14 tahun | 47.63 kg | 158.7 cm |
15 tahun | 52.16 kg | 159.7 cm |
Kanak-Kanak Lelaki
Umur | Berat badan | Ketinggian |
---|---|---|
2 tahun | 12.47 kg | 86.8 cm |
3 tahun | 14.06 kg | 95.2 cm |
4 tahun | 16.33 kg | 102.3 cm |
5 tahun | 18.37 kg | 109.2 cm |
6 tahun | 20.64 kg | 115.5 cm |
7 tahun | 22.9 kg | 121.9 cm |
8 tahun | 25.63 kg | 128 cm |
9 tahun | 28.58 kg | 133.3 cm |
10 tahun | 32 kg | 138.4 cm |
11 tahun | 35.6 kg | 143.5 cm |
12 tahun | 39.92 kg | 149.1 cm |
13 tahun | 45.36 kg | 156.2 cm |
14 tahun | 50.8 kg | 163.8 cm |
15 tahun | 56.02 kg | 170.1 cm |
Bagaimana Diet Membantu Anak-Anak Membesar Dengan Baik?
Menjelang usia enam bulan, keperluan pemakanan bayi melebihi apa yang boleh disediakan oleh susu ibu sahaja. Pada peringkat ini, penting untuk ibu bapa memperkenalkan makanan pelengkap sambil meneruskan penyusuan seperti biasa.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penyusuan susu ibu sehingga dua tahun atau lebih, bersama-sama dengan memasukkan pelbagai makanan pelengkap. Memastikan pengambilan harian daripada sekurang-kurangnya lima kumpulan makanan yang berbeza, termasuk karbohidrat, protein, serat, vitamin dan lemak.
Berikut adalah contoh-contoh makanan penting untuk dimasukkan:
- Bijirin, akar, ubi (beras, bijirin, kentang, keledek)
- Kekacang (badam, lentil)
- Produk tenusu (susu, susu formula bayi, yogurt, keju)
- Daging, ikan, ayam, telur
- Buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin A (oren, lobak merah, bayam)
Kepelbagaian ini memastikan kanak-kanak menerima diet seimbang yang menyokong pertumbuhan dan perkembangan mereka.

Jika kanak-kanak kurang makan, bolehkah sekadar digantikan dengan susu?
Kebanyakan ibu bapa sering menghadapi kesukaran di mana anak-anak mereka mempunyai tabiat pemakanan yang tidak seimbang dan tidak menggemari diet makanan yang disediakan. Ini sekaligus menyumbang kepada kekurangan zat makanan pada kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.
Walaupun adalah lebih baik untuk ibu bapa memberikan nutrien dan zat yang diperlukan daripada hidangan makanan yang dimasak, tetapi solusi lain yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan susu formula tumbesaran yang direka dengan khasiat dan zat yang diperlukan.
Tidak seperti susu formula biasa, susu tumbesaran menawarkan tahap protein, tenaga, vitamin dan mineral yang lebih tinggi untuk menyokong kanak-kanak yang ketinggalan dalam carta pertumbuhan atau perlu pulih daripada kekurangan nutrisi.