88% Orang Dewasa Malaysia Mengabaikan Kepentingan Ujian Saringan Klinikal Untuk Kanser Kolorektal

July 9, 2024
Kesihatan

Lina Rosli

Untuk pengetahuan anda, kanser kolorektal merupakan penyebab ketiga paling biasa kematian berkaitan kanser di seluruh dunia – menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan awam.

Di Malaysia, ia menduduki tempat sebagai kanser utama dalam kalangan lelaki dan kedua paling biasa di kalangan wanita.

Disebabkan kesedaran mengenai bahaya kanser ini masih lagi di paras minimum, Persatuan Pakar Bedah Kolorektal Malaysia (MSCRS) mengadakan sidang akhbar sebagai sebahagian daripada Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal 2024.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Perubatan kementerian, Dato’ Dr Mohd Azman bin Yacob, beliau menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit kanser kolorektal kerana berdasarkan laporan dikeluarkan National Health & Kajian Morbiditi (NHMS) 20231 telah menunjukkan bahawa 88% orang dewasa, berumur 50 tahun dan ke atas, tidak pernah melakukan ujian saringan klinikal untuk membantu mencari kanser kolorektal sebelum pesakit mengalami gejala.

Mengapa Pentingnya Ujian Saringan Kanser Kolorektal?

Menurut MSCRS, langkah pengesanan awal dan pencegahan adalah penting dalam mengurangkan kadar kematian.

Pada peringkat awal iaitu di peringkat 1 hingga 2, kanser kolorektal mempunyai sehingga 90% kadar kelangsungan hidup, tetapi ini menurun kepada 50% pada peringkat kemudian – iaitu peringkat 3 hingga 4.

Kira-kira 70% daripada mereka yang menghidap kanser kolorektal mendapatkan bantuan perubatan pada peringkat kemudian, yang membawa kepada rawatan yang lebih kompleks dan mahal untuk pesakit.

Tambah pakar juga, terdapat peningkatan risiko sekiranya pesakit yang lambat menyedari tentang kanser yang dialami. Risiko ini dipengaruhi oleh:

  • Umur: Risiko kanser kolorektal meningkat seiring dengan umur, khususnya selepas usia 50 tahun.
  • Sejarah keluarga: Jika anda mempunyai ahli keluarga yang telah didiagnosis dengan kanser kolorektal, risiko anda juga akan meningkat.
  • Sejarah peribadi: Individu yang pernah mengalami polip adenomatous atau kanser kolorektal sebelumnya mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kanser ini sekali lagi.
  • Penyakit radang usus: Penyakit seperti kolitis ulseratif dan penyakit Crohn boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal.
  • Diet: Diet yang tinggi dalam daging merah dan daging yang diproses boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal. Diet rendah serat juga dikaitkan dengan peningkatan risiko.
  • Gaya hidup tidak aktif: Kurang bersenam atau menjalani gaya hidup yang tidak aktif boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal.
  • Berat badan berlebihan atau obesiti: Obesiti dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk kanser kolorektal, terutama pada lelaki.
  • Merokok: Penggunaan tembakau telah dikaitkan dengan banyak jenis kanser, termasuk kanser kolorektal.
  • Diabetes: Pesakit diabetes jenis 2 mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengembangkan kanser kolorektal.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd