Secara umumnya, di Lazada, terdapat beberapa faktor atau syarat yang membenarkan pelanggan untuk melakukan pemulangan pesanan kepada pekedai.
Sebagai contoh, bagi pesanan yang melibatkan barangan yang mudah rosak seperti makanan ataupun yang mempunyai tarikh luput yang pendek, ia akan diletakkan di dalam kategori yang tidak dibenarkan untuk dipulang semula kepada pekedai setelah menerimanya.
Namun, sekiranya ia melibatkan barangan elektronik atau barang bersaiz besar pula, ianya perlu dibungkus dan dihantarkan semula kepada pekedai untuk mendapatkan bayaran balik.
Perbezaan dalam kategori barang ini amatlah penting untuk anda ketahui bagi memudahkan proses ‘Return & Refund‘ untuk sesuatu pesanan.
Proses Pemulangan Dan Bayaran Balik Di Lazada
Sama ada pelanggan ingin mengubah fikiran atau menghadapi sebarang masalah dengan barangan yang diterima, Lazada kini memperkenalkan dasar baharu yang mana – proses pemulangan dan bayaran balik boleh dilaksanakan dengan lebih cekap.
Dengan dasar pemulangan dan bayaran balik baharu Lazada, pembeli boleh menikmati beberapa faedah utama:
#1 Pulangan mudah selama 30 hari untuk semua pembelian LazMall and Choice.
Melalui dasar ini, pembeli tidak lagi perlu tergesa-gesa membuat keputusan pembelian. Anda kini mempunyai masa sebulan untuk mempertimbangkan pembelian dan boleh meminta pemulangan dan bayaran balik. Contoh senario yang membolehkan ‘Return & Refund‘:
- pelanggan berasa tidak berpuas hati dengan kondisi barangan – untuk pakaian, barangan elektronik, perabot,
- prestasi barangan yang dipesan tidak seperti yang diuar-uarkan di dalam iklan.
- ciri atau spesifikasi barangan tidak sesuai dengan dekorasi rumah.
Bagaimana dengan barangan yang tidak dipesan melalui LazMall? Jawapannya, pemulangan pesanan perlu dilakukan dalam tempoh 7 hari – dari hari penghantaran.
#2 Dasar “Change of Mind” Lazada kini terpakai untuk rangkaian produk dan kategori yang lebih luas di seluruh platform Lazada.
Dasar “Change of Mind” ini tidak lagi terhad untuk barangan yang tidak memenuhi jangkaan atau keperluan pembeli.
Jika anda berasa sesuatu pembelian itu tidak sesuai disebabkan gaya, saiz, atau sekadar perubahan hati, Lazada akan membantu dalam melakukan pemulangan dan bayaran balik.
#3 Proses bayaran balik yang lebih pantas.
Pembeli kini boleh mendapatkan bayaran balik yang lebih pantas sebaik sahaja pesanan berjaya dikembalikan kepada rakan kongsi logistik melalui penghantaran (drop-off) atau pengambilan (pick-up).
Dengan proses yang diperkemaskan, Lazada dapat mengurangkan masa menunggu untuk memastikan pelanggan menerima bayaran balik tanpa penangguhan. Dalam sesetengah kes, bayaran balik akan berlaku dengan serta-merta selepas pelanggan memulakan proses pemulangan.
Adakah Dasar Baharu Lazada Ini Tertakluk Kepada Pesanan Yang Baru Diproses Ataupun Sebaliknya?
Sama ada anda membatalkan pesanan sebelum dihantar, atau memulangkan barangan selepas penghantaran, dasar ini boleh digunapakai untuk kedua-duanya.
Menurut Lazada, setiap pesanan yang dibuat di platform Lazada kini dilindungi dasar pemulangan dan bayaran balik baharunya yang lebih jelas dan cekap untuk pengalaman yang lebih lancar dan meyakinkan.
Namun, harus diingatkan juga syarat pemulangan barangan perlulah diteliti:
- Tag atau label pada barangan masih utuh dan tidak ditanggalkan.
- Sekiranya barangan mempunyai kotak asal, ia perlulah disertakan sekali bersama barang yang dipesan.
- Barangan yang ingin dipulangkan juga haruslah masih baru, belum pernah dipakai dan dicuci.