Bagaimana Cara Untuk Menguruskan Masalah Sembelit Dalam Kalangan Kanak-Kanak?

July 11, 2024
Famili

Lina Rosli

Masalah sembelit atau functional constipation (FC) merupakan salah satu gangguan gastrousus yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak, dan didefinisikan sebagai kesukaran membuang air besar yang disebabkan oleh punca lain selain daripada punca organik.

Menurut Dr Simon Foo Hee Wei, Pakar Perunding Kanak-Kanak, Gastroenterologi Kanak-Kanak dan Pakar Hepatologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), masalah sebelum sebenarnya mempunyai kelaziman di seluruh dunia sebanyak 9.5% (merangkumi orang dewasa dan kanak-kanak) dan turut berlaku ke atas 95% kanak-kanak sihat yang berumur setahun ke atas.

Walaupun sembelit sering dianggap sebagai masalah kecil, FC yang tidak dirawat boleh membawa kepada pelbagai komplikasi gastrousus yang serius seperti koyakan pada kolon dan jangkitan saluran kencing.

Komplikasi ini boleh memberikan kesan terhadap tumbesaran dan kualiti hidup kanak-kanak. Oleh itu, mengenali dan mempelajari cara terbaik untuk mengurus FC adalah penting untuk memastikan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak.

Memahami Sembelit Pada Kanak-kanak

Walaupun terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada FC, ibu bapa perlu tahu bahawa kanak-kanak amat terdedah untuk mendapat masalah sembelit semasa fasa utama kehidupan mereka, seperti:

  • ketika tempoh pengenalan makanan pepejal (usia 6 bulan hingga setahun)
  • permulaan latihan menggunakan tandas (2 hingga 3 tahun)
  • ketika memulakan tadika (3 hingga 5 tahun)

Dr Foo menjelaskan bahawa fasa ini merupakan tempoh penting kerana kanak-kanak mungkin boleh mendapat sembelit semasa tempoh latihan menggunakan tandas disebabkan tekanan mempelajari rutin baru.

Selain daripada itu, faktor psikologi turut menyumbang kepada masalah sembelit. Ini termasuk:

  • tekanan
  • kebimbangan
  • trauma juga boleh mencetuskan masalah sembelit

Sebagai contoh, kebimbangan yang datang dengan perubahan persekitaran seperti tandas sekolah yang tidak bersih boleh menyebabkan kanak-kanak mengelak daripada menggunakan tandas lalu mengakibatkan mereka menahan diri dari membuang air besar. Hal ini seterusnya boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami sembelit yang semakin teruk serta berada dalam kesakitan dan tekanan.

Faktor lain sembelit boleh berlaku disebabkan oleh kekurangan serat dan cecair dalam diet atau masalah intoleransi laktosa terhadap susu lembu. Peralihan daripada susu ibu kepada susu lembu boleh menyebabkan masalah sembelit pada sesetengah bayi yang seterusnya boleh menyebabkan rekahan dubur (anal fissure) akibat najis yang besar dan keras.

Untuk mengenal pasti jika anak anda mempunyai intolerasi terhadap susu lembu atau apa-apa jenis alahan makanan lain, doktor akan mengesyorkan kaedah penyingkiran alergen dua minggu, di mana ibu bapa tidak memasukkan alergen (makanan) yang disyaki ke dalam rutin diet si anak.

Sekiranya keadaan anak bertambah baik, ini menunjukkan bahawa anak tersebut mempuyai intoleransi terhadap alergen tersebut.

Sembelit sekali-sekala adalah perkara biasa dan kebiasaannya tidak akan menimbulkan kebimbangan. Namun, para ibu bapa harus berwaspada dengan tanda amaran sembelit seperti:

  • sakit perut dan kembung perut yang berterusan
  • kurang selera makan
  • penurunan berat badan
  • ketidakupayaan untuk mengawal kencing

Pencegahan Dan Pengurusan Sembelit Dalam Kanak-Kanak

Memahami sembelit dan punca penyebabnya adalah langkah pertama untuk ibu bapa menguruskan keadaan dengan berkesan. Ibu bapa dan pengasuh harus mengekalkan dan memastikan komunikasi secara terbuka bukan sahaja dengan pakar perunding kanak-kanak tetapi juga dengan anak-anak mereka sendiri.

Ini boleh memupuk pemahaman yang lebih baik tentang keadaan kanak-kanak dan sebarang cabaran yang mungkin mereka hadapi.

Komunikasi sedemikian amat dihargai oleh pakar perubatan profesional untuk menawarkan nasihat yang tepat dan plan rawatan yang disesuaikan dengan keperluan setiap kanak-kanak. Pemantauan simptom juga menjadi lebih berkesan apabila semua pihak mempunyai maklumat yang mencukupi dan bersifat proaktif.

Walaupun spesifikasi penyakit sembelit mungkin berbeza mengikut kes, Dr Foo mencadangkan untuk mengikut garis panduan umum untuk memastikan anak mempunyai kekerapan membuang air besar sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan tanpa mengalami proses membuang air besar yang menyakitkan dengan najis yang besar atau keras seperti yang diterangkan dalam kriteria ROME berasaskan gejala yang mendefinisikan jenis-jenis gangguan gastrousus.

Jillian Tan Foong Yinn, ahli dietetik di SMCV menekankan peranan diet seimbang untuk menggalakkan pergerakan usus yang baik dan kesihatan usus secara keseluruhan. Makanan kaya serat seperti pisang, betik serta lobak merah kukus atau kentang bukan sahaja menggalakkan pergerakan usus yang kerap tetapi juga meningkatkan kesihatan usus.

Namun, diingatkan juga, makanan kaya serat perlu diperkenalkan secara beransur-ansur ke dalam diet anak untuk memberi sistem pencernaan anak anda sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan membantu mengukur toleransi mereka serta mencegah isu seperti gas atau kembung perut.

Di samping serat, pengambilan air yang mencukupi mengikut jumlah yang disyorkan berdasarkan umur adalah sama penting.

Mengimbangi diet kanak-kanak dengan makanan ringan sekali-sekala juga merupakan kunci untuk mengekalkan pendekatan yang sihat dan memupuk hubungan positif dengan makanan.

Menerusi keseimbangan ini, ibu bapa dapat memastikan bahawa anak mereka dapat menerima nutrien penting daripada pemakanan mereka di samping memastikan anak-anak gembira kerana masih boleh menikmati makanan ringan sekali-sekala.

Selain itu, ibu bapa digalakkan untuk menerapkan tabiat gaya hidup yang positif kepada anak-anak mereka sejak kecil, termasuklah dengan memupuk aktiviti fizikal yang konsisten seperti berjalan, berenang atau bersukan. Kanak-kanak belajar dengan meniru apa yang dilakukan oleh penjaga mereka.

Oleh itu, ibu bapa harus menunjukkan contoh yang baik di hadapan anak-anak.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd