‘Potty training’ atau latihan menggunakan tandas adalah fasa perkembangan kanak-kanak yang perlu diperkenalkan oleh setiap ibu bapa kepada anak mereka.
Latihan menggunakan tandas ini penting bukan sahaja untuk menyemai rasa kebersihan dan berdikari yang baik pada diri kanak-kanak tetapi juga berpotensi untuk mencegah masalah sembelit.
Walaupun perkara ini adalah penting, ramai ibu bapa muda mungkin tertanya-tanya apakah umur yang sesuai untuk memulakan latihan tandas dan bagaimana untuk memastikan ia adalah pengalaman yang positif untuk anak mereka.
Apakah Umur Yang Sesuai Untuk Kanak-Kanak Memulakan Potty Training?
Menurut Dr Foo, Pakar Perunding Kanak-Kanak, Gastroenterologi Kanak-Kanak dan Pakar Hepatologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), umur yang disyorkan untuk memulakan latihan tandas adalah sekitar usia 4 tahun.
Pada umur 4 tahun ini, kanak-kanak sudah boleh berjalan sendiri, boleh kekal kering selama beberapa jam (tidak terlalu kerap membuang air kecil atau besar) dan boleh memahami serta mengikuti arahan mudah.
Jika kanak-kanak memulakan latihan tandas terlalu awal, mereka mungkin mengaitkan pergi ke tandas dengan emosi negatif dan boleh menyebabkan mereka menahan diri dari membuang air besar dan akhirnya menyebabkan sembelit kerana mereka kurang faham dan masih belum bersedia.
Cara Memperkenalkan Potty Training Kepada Kanak-Kanak
Untuk membantu memudahkan kanak-kanak ketika fasa latihan tandas, ibu bapa harus memastikan anak mereka selesa sepanjang proses latihan.
Langkah kecil seperti memakaikan anak dengan pakaian yang mudah dibuka sangat membantu sekiranya berlaku kemalangan tandas seperti terkencing atau terbuang air besar.
Selain itu, menetapkan masa yang tetap dalam rutin harian mereka untuk menggunakan tandas dengan tempat duduk khas kanak-kanak dapat membantu membina tabiat menggunakan tandas dari awal.
Memberikan hadiah kecil apabila anak berjaya pergi ke tandas sendiri dalam tempoh masa yang ditetapkan juga boleh mewujudkan hubungan yang positif dengan proses ini.
Harus diingatkan, ibu bapa tidak boleh memberi tekanan kepada anak-anak mereka. Berikan galakan dan sokongan berterusan tanpa perlu berasa stress sekiranya berlaku sebarang insiden. Ibu bapa perlu menjadi sumber sokongan untuk anak-anak dan membuatkan mereka berasa selamat dan terjamin ketika mereka sedang belajar menggunakan tandas secara berdikari.
Kesabaran bukan sahaja penting untuk latihan tandas tetapi juga untuk menguruskan masalah sembelit. Hal ini terutamanya boleh menjadi sangat mencabar apabila kanak-kanak masih kecil dan tidak memahami keadaan sekeliling mereka.