Alpro Pharmacy Melancarkan Na-Yao – Lokar Ubat-Ubatan Pintar Pertama Yang Diperakui SIRIM
Lina Rosli
Alpro Pharmacy mengumumkan pelancaran lokar ubat-ubatan pintar yang pertama di Malaysia. Lokar ini telah mendapat perakuan SIRIM dan diberi nama ‘Na-Yao’, yang bermaksud “Ambil Ubat” di dalam bahasa Cina.
Pengenalan lokar ini merupakan salah satu inovasi untuk menyimpan dan mengedarkan ubat. Dengan ini, Na-Yao bukan sahaja menjamin keselamatan penyimpanan ubat tetapi juga mengawal privasi butiran pembeli ubat-ubatan – Na-Yao menyediakan cara yang sulit untuk mengakses ubat, melindungi maklumat pesakit dan pematuhan kepada rawatan tanpa menjejaskan privasi.

Menurut Alpro Pharmacy, Na-Yao direka khas untuk menampung pelbagai bentuk ubat seperti tablet, kapsul, cecair dan semburan. Bukan itu sahaja, menerusi pengenalan Na-Yao, ia sedikit sebanyak memudahkan pembelian ubat-ubatan dilakukan oleh individu pada bila-bila masa.
Secara umumnya, kebiasaannya ubat yang dibeli akan dihantar dan mungkin ditinggalkan di persekitaran yang tidak selamat, seperti di bawah sinaran matahari secara langsung atau di dalam peti surat yang tidak dikunci.
Apabila berbuat sedemikian, ubat-ubat yang dibeli secara atas-talian ini berpotensi untuk rosak dan mengalami penurunan keberkesanan.

Oleh itu, dengan adanya Na- Yao, ia membantu menangani cabaran ini dengan memastikan ubat disimpan dengan selamat daripada ancaman alam sekitar.
Na-Yao kini diperkenalkan di lokasi rakan korporat terpilih di Lembah Klang, menandakan percubaan awal dengan rancangan untuk pengembangan di seluruh negara pada masa hadapan.
Pelancaran berperingkat ini bertujuan untuk menyediakan akses meluas kepada penyelesaian pengurusan ubat yang maju, menangani keperluan untuk pengedaran ubat yang lebih fleksibel, boleh dipercayai, dan sulit.