Anda mungkin tidak percaya, tetapi tulang manusia sebenarnya lima kali lebih kuat daripada besi jika dibandingkan dalam saiz yang sama.
Tulang kita adalah satu keajaiban biologi yang menggabungkan kekuatan, fleksibiliti, dan keupayaan penyembuhan diri.
Untuk pengetahuan anda, secara umumnya tulang manusia terbina daripada campuran kolagen dan mineral terutamanya kalsium fosfat. Kolagen memberikan tulang fleksibiliti, manakala kalsium fosfat memberikan kekuatan.

Gabungan dua elemen ini mencipta struktur yang tahan lasak tetapi tetap cukup fleksibel untuk menahan tekanan dan impak.
Setiap tulang individu akan mempunyai kira-kira 4 lapisan utama:
- Permukaan luar tulang dipanggil periosteum. Ia adalah membran nipis dan padat yang mengandungi saraf dan saluran darah yang menyuburkan tulang.
- Lapisan seterusnya terdiri daripada tulang padat. Bahagian ini licin dan sangat keras – bahagian yang kelihatan pada rangka.
- Di dalam tulang padat terdapat banyak lapisan tulang cancellous yang kelihatan sedikit seperti span. Tulang cancellous tidaklah sekeras tulang padat, tetapi ia masih sangat kuat.
- Bahagian tulang paling dalam dipanggil tulang sumsum. Sumsum adalah sejenis jeli tebal dan tugasnya adalah untuk membuat sel darah.
Fakta Menarik Mengenai Tulang Manusia
Secara umumnya, fungsi tulang adalah untuk memberikan struktur kepada badan anda selain turut berfungsi dalam membolehkan anda bergerak, melindungi organ dalaman dan banyak lagi.
Setiap individu dewasa mempunyai 206 jenis tulang.
Bagaimana Tulang Tumbuh?
Semasa anda masih bayi, anda mempunyai tangan yang kecil, kaki yang kecil, dan segala-galanya yang kecil. Namun, apabila membesar, ia perlahan-lahan menjadi lebih besar, termasuk tulang anda.
Tubuh bayi mempunyai kira-kira 300 tulang semasa dilahirkan. Ini akhirnya bergabung dan tumbuh bersama untuk membentuk 206 tulang yang dimiliki oleh orang dewasa.

Sebahagian daripada tulang bayi dibuat sepenuhnya daripada bahan khas yang dipanggil tulang rawan. Rawan ini lembut dan fleksibel. Oleh itu, apabila anda membesar, rawan ini akan perlahan-lahan digantikan dengan tulang biasa – dengan bantuan kalsium.
Pada masa anda berumur kira-kira 25 tahun, proses tumbesaran dan penggantian tulang akan selesai. Selepas ini berlaku, individu tidak lagi mengalami pertumbuhan.
Kelebihan Tulang Manusia
Salah satu kelebihan tulang manusia ialah kemampuannya untuk berubah dan beradaptasi dengan beban yang dikenakan ke atasnya. Sebagai contoh, tulang seorang atlet akan menjadi lebih padat dan kuat kerana latihan berterusan, manakala tulang seseorang yang kurang aktif mungkin lebih rapuh.
Selain itu juga, tulang manusia mempunyai keupayaan luar biasa untuk sembuh sendiri. Apabila anda mengalami patah tulang, tubuh badan individu akan membentuk tisu tulang yang baharu di sekitar kawasan yang patah, dan secara perlahan-lahan mengembalikan kekuatan dan fungsinya.
Kepentingan Penjagaan Tulang
Menurut pakar ortopedik, menjaga kepadatan tulang adalah penting untuk mengelakkan masalah seperti osteoporosis.
Antara langkah yang boleh anda lakukan bagi memastikan kesihatan tulang berpanjangan, pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi dalam diet adalah penting. Ini kerana vitamin D berperanan dalam mengekalkan tulang yang kuat – sekaligus membantu badan untuk menyerap kalsium daripada makanan yang diambil.

Selain diet pemakanan yang sihat, senaman juga boleh membantu mengekalkan kekuatan tulang sepanjang hayat. Melaluinya, tulang-tulang kita telah berkembang untuk menyokong tubuh manusia dengan cara yang paling efisien, memungkinkan kita untuk berjalan tegak, berlari, dan melaksanakan pelbagai aktiviti harian.