Kenangan Coffee Kini Mempunyai Lebih 50 Cawangan Di Malaysia
Lina Rosli
Menjadi salah satu rangkaian kopi grab-and-go yang paling pesat berkembang di Indonesia, Kopi Kenangan dilihat turut aktif dalam memperluaskan penawaran mereka di Malaysia.
Menggunakan nama Kenangan Coffee, jenama ini telah memulakan operasinya di Malaysia sejak Oktober 2022. Bermula dengan satu cawangan di Suria KLCC, kini jenama ini nampaknya telah mempunyai lebih dari 50 cawangan di Malaysia – jumlah keseluruhan bagi pertengahan tahun 2024.

Setakat ini, Kenangan Coffee dilihat masih lagi memfokuskan pembukaan cawangan di sekitar Lembah Klang, Selangor dan dua negeri di selatan Malaysia iaitu, Negeri Sembilan dan Johor.
Selain penawaran kedai kopi, jenama ini turut komited dalam membangunkan komuniti kopi. Mereka juga telah memperkenalkan akademi yang tersendiri.
Menerusi akademi ini, Kenangan Academy telah menyediakan latihan yang bersesuaian kepada individu selain turut memastikan mereka memperoleh kemahiran lain seperti ilmu dan pengetahuan yang boleh digunakan untuk membuka laluan kepada kerjaya dalam kopi.

Untuk pengetahuan anda juga, Kenangan Coffee turut hadir penawaran biji kopi yang dipanggang sendiri – iaitu Kenangan Blend dan Bener Meriah.
Bagi yang pernah mencuba kopi yang menggunakan biji kopi Kenangan Blend, ia hadir dengan rasa nota coklat yang pekat, manakala Bener Meriah pula merupakan biji kopi Arabica yang dipetik dari ladang di wilayah Aceh Tengah. Biji kopi ini hadir dengan aroma halus dan rasa pahit yang agak ringan berbanding Kenangan Blend.