Carian
Cendawan – Bukan Sayur Dan Bukan Buah, Jadi Apa?
July 29, 2024 Lina Rosli

Pernah terfikir kenapa cendawan sering dianggap sebagai sayur walaupun ia sebenarnya bukan buah atau sayur?

Untuk pengetahuan anda, cendawan sebenarnya tergolong dalam kategori kulat atau fungi. Fungi ini termasuklah yis dan kulat yang lain. Tidak seperti tumbuhan yang memerlukan cahaya matahari untuk fotosintesis, cendawan memperoleh nutrien melalui penguraian bahan organik.

Cendawan juga boleh hidup di tempat yang gelap dan lembap. Oleh itu, anda boleh menemuinya di tempat-tempat seperti di kayu atau daun reput, di kawasan rumah seperti di dinding ataupun kawasan rekahan simen untuk tumbuh.

Fakta Menarik Tentang Cendawan

Mengapa cendawan bukan tumbuhan? Jawapannya, cendawan bukanlah tumbuhan kerana mereka tidak menjalankan fotosintesis. Cendawan juga bukan haiwan kerana mereka tidak mempunyai ciri-ciri haiwan.

Selain itu, cendawan juga membiak melalui spora yang disebarkan oleh angin, air, atau haiwan. Spora ini kecil dan halus, menjadikannya sukar dilihat dengan mata kasar.

Untuk pengetahuan anda juga, cendawan datang dalam pelbagai bentuk dan warna. Ada yang boleh dimakan, seperti cendawan tiram dan shiitake, tetapi ada juga yang beracun seperti Amanita muscaria.

Apakah Jenis-Jenis Cendawan Yang Selamat Dimakan?

Tahukah anda bahawa, terdapat lebih 10,000 jenis cendawan yang pernah dijumpai di seluruh dunia. Dan kesemua spesies cendawan ini terbahagi kepada 4 kategori iaitu saprotropik, mikoriza, parasit, dan endofit.

Untuk cendawan jenis saprotropik, ia merupakan kategori cendawan pengurai. Mereka akan membebaskan asid dan enzim yang akan digunakan untuk memecahkan tisu mati kepada molekul yang lebih kecil dan boleh diserap. Oleh itu kayu, tumbuhan dan juga haiwan yang mereput boleh menjadi makanan untuk cendawan dari kumpulan saprotrof.

Manakala cendawan mikoriza pula adalah cendawan yang bersimbiosis dengan tumbuhan. Ia adalah antara kategori cendawan yang bermanfaat sama ada pada tumbuhan dan juga untuk dimakan. Ini kerana miselia cendawan mikoriza membawa kelembapan tambahan, fosforus dan nutrien lain kepada perumahnya.

Seperti namanya, cendawan parasit pula adalah cendawan yang mengambil perumah tumbuhan. Dalam kes ini, cendawan parasit akan akan menjangkiti perumah dan akhirnya membunuhnya. Kadang-kadang tidak banyak perbezaan ketara antara parasit dan saprotropik. Sebagai contoh, cendawan madu adalah parasit tetapi ia juga akan terus hidup secara saprotropik pada kayu mati perumahnya.

Seterusnya, cendawan endofit bekerjasama dengan tumbuhan dengan menyerang tisu perumah. Setakat ini, pakar mikologi mengesyaki bahawa kulat parasit dan saprofit tertentu akan mendedahkan diri mereka sebagai endofit apabila pertumbuhan semakin mengembang. Masa akan menentukan penemuan apa yang akan muncul apabila kumpulan ini dikaji lebih lanjut.

Komen