KKM Mengeluarkan Kenyataan Berkenaan Larangan Jualan Produk Aiskrim Yang Dicampur Ubat Batuk
Lina Rosli
Pada awal minggu ini, Inside Scoop telahpun hadir dengan penawaran menu edisi terhad yang menggabungkan aiskrim vanila dengan ubat batuk Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak). Dan ini sedikit sebanyak telah meraih perhatian daripada banyak pihak.
Berikutan isu ini, KKM telah mengeluarkan sebuah kenyataan yang mana Pei Pa Koa merupakan produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah – produk yang digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk.
Oleh yang demikian, produk ini mempunyai limitasi jualannya dan tidak boleh dikonsumsi oleh wanita hamil – seperti yang dinyakatkan pada label.

Dalam kenyataan itu juga, KKM telah menyatakan bahawa di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan produk ini dengan mana-mana produk makanan lain. Ini kerana ia boleh menyebabkan beberapa komplikasi lain sekiranya tidak diambil pada kadar kuantiti yang telah ditetapkan.
Dengan ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli dan mendapatkan produk makanan yang dicampurkan dengan produk kawalan seperti ubat batuk.