Mengapa Cahaya Matahari Waktu Pagi Lebih Baik Dari Waktu Petang?
Lina Rosli
Tahukah anda bahawa sinar matahari pagi merupakan waktu yang terbaik untuk mendapatkan manfaat dari cahaya matahari?
Terdapat beberapa sebab mengapa cahaya matahari pada waktu pagi lebih memberi manfaat kepada individu – jika dibandingkan dengan cahaya matahari tengah hari atau petang.
#1 Penghasilan Vitamin D
Vitamin D sangat penting untuk kesihatan tulang dan fungsi imun tubuh. Tubuh kita memerlukan vitamin D untuk menyerap kalsium dengan baik, yang membantu dalam pembentukan tulang yang kuat.
Cahaya matahari pagi mengandungi sinar ultraviolet B (UVB) yang membantu kulit kita menghasilkan vitamin D secara semula jadi – pada waktu bagi juga sinar UVB ini tidak terlalu kuat yang mana ia tidak berupaya untuk merosakkan kulit.

#2 Intensiti Cahaya Lebih Rendah Pada Waktu Pagi
Pada waktu pagi, intensiti cahaya matahari adalah lebih rendah berbanding dengan waktu tengah hari dan petang. Untuk konteks ini, waktu paling ideal untuk mendapatkan cahaya matahari pagi adalah sekitar jam 7 pagi hingga 10 pagi.
Manakala jam antara 11 pagi hingga 4 petang biasanya mempunyai cahaya matahari yang paling panas dan paling tinggi intensiti kerana sinaran UV bergerak dalam jarak yang lebih pendek melalui atmosfera dan mempunyai laluan lurus ke Bumi. Jadi, ia akan mengenai kulit secara langsung.
Apabila ini terjadi, individu lebih berisiko untuk mengalami kerosakan kulit, selaran matahari, dan risiko kanser kulit akibat pendedahan sinar UV yang berlebihan. Sinar UV yang kuat boleh merosakkan kulit dan menyebabkan penuaan pramatang serta meningkatkan risiko penyakit kulit.
#3 Penambahbaikan Suasana Hati Dan Tenaga
Pendedahan kepada cahaya matahari pagi boleh meningkatkan suasana hati (mood) dan tahap tenaga individu.
Untuk pengetahuan anda, sinar matahari membantu tubuh mengatur jam biologi atau ritma sirkadian, yang penting untuk tidur yang berkualiti dan kitaran tidur-bangun yang sihat. Selain itu, jika ia diperoleh pada waktu pagi, cahaya ini dapat merangsang pengeluaran serotonin, iaitu hormon yang meningkatkan suasana sekaligus membantu anda merasa lebih gembira dan bertenaga.

#4 Menyokong Kesihatan Mata
Pendedahan kepada cahaya matahari pagi boleh membantu menjaga kesihatan mata anda. Disebabkan cahaya matahari semula jadi mempunyai kelebihan dalam mengatur pengeluaran melatonin dalam tubuh, pendedahan mata kepada cahaya matahari pada waktu pagi boleh membantu mengurangkan risiko masalah penglihatan dan meningkatkan kesihatan mata secara keseluruhan.
#5 Mengawal Berat Badan
Beberapa kajian menunjukkan bahawa pendedahan kepada sinar matahari pagi boleh membantu mengawal berat badan. Cahaya matahari pagi boleh membantu mengatur metabolisme tubuh dan mengawal selera makan, yang berpotensi membantu dalam usaha penurunan berat badan dan pengurusan berat badan.

Mengambil masa untuk menikmati sinar matahari pagi boleh memberikan pelbagai manfaat kesihatan. Walaupun penting untuk melindungi kulit daripada pendedahan sinar matahari yang berlebihan, terutamanya pada waktu tengah hari dan petang, mendapatkan sedikit sinar matahari pagi boleh membantu meningkatkan kesihatan anda secara keseluruhan.
Jangan lupa untuk menggunakan pelindung matahari jika anda merancang untuk berada di luar rumah untuk jangka masa yang panjang.