Pernahkah anda berada di dalam situasi di mana tayar pancit sewaktu memandu di jalan raya? Jika ya, pastinya anda akan berasa risau – mana tidaknya tayar pancit di tengah-tengah jalan sudah tentu boleh mendatangkan bahaya dan mengganggu perjalanan seseorang.
Jika anda lihat di Malaysia, kawasan yang tinggi aliran trafik seringkali mempunyai kondisi jalan yang kurang baik seperti berlubang dan tidak rata, ini sekaligus secara tidak langsung meningkatkan risiko pemandu terdedah dengan kecemasan yang berkaitan dengan tayar.
Oleh itu, dengan kehadiran teknologi tayar pengedap kendiri pada hari ini, pengguna jalan raya boleh menjadi lebih yakin dalam setiap pemanduan.

Untuk pengetahuan anda, Continental baru-baru ini telah memperluaskan penggunaan teknologi ContiSeal yang inovatif kepada set produk dan saiz rim yang lebih luas. Pengenalan ini bertujuan menjadikan tawaran tersedia kepada rangkaian pemilik kereta yang lebih luas, meningkatkan keselamatan untuk pemandu serta menangani cabaran jalan raya.
Kali pertama diperkenalkan pada tahun 2003, teknologi ContiSeal telah ditambah baik selama lebih dua dekad, membolehkan pengedapan segera sebanyak 80% daripada semua tusukan, dan 99.9% untuk tayar pancit dengan diameter sehingga 5mm.
Kelebihan Teknologi ContiSeal
Menurut Continental, teknologi ContiSeal ini mampu menyumbat lubang sehingga diameter 5mm – menghalang udara daripada bocor. Digunakan pada bahagian dalam tayar di kawasan bunga, lapisan pengedap memastikan tayar masih boleh mengekalkan prestasinya di sepanjang pemanduan.
Dengan ini, apabila tayar kereta anda ditusuk oleh objek asing seperti paku, tidak ada keperluan segera untuk menukar tayar di tepi jalan.

Berbeza dengan run-flat tyres (tayar gerak kempis), tayar ContiSeal berfungsi seperti tayar standard tanpa mengorbankan keselesaan dan tidak memerlukan pengubahsuaian kenderaan khusus.
Bukan itu sahaja, pemandu juga masih boleh mengekalkan cara pemanduan seperti biasa – tidak perlu mengurangkan kelajuan kerana tayar ContiSeal mengekalkan integriti dan prestasi walaupun selepas pancit, sekali gus membenarkan pemanduan tanpa had dan boleh dibaiki jika perlu.
Adakah Tayar ContiSeal Continental Lebih Mahal?
Jawapannya ya.
Meskipun tayar pengedap kendiri mungkin pada awalnya adalah lebih mahal, dalam jangka panjang tayar ini merupakan penjimatan kos untuk pemilik kereta, sekali gus mengurangkan keperluan untuk bantuan di tepi jalan, penundaan atau penukaran tayar dengan kerap.
Tambahan pula, Continental menjamin ContiSeal di bawah waranti pembuatan standard mereka; sekiranya berlaku sebarang kecacatan prestasi pengedap untuk tusukan dalam lingkungan 5mm (di kawasan bunga), bayaran balik waranti flat rate akan diberikan.

Selain itu, dengan pembelian tayar ContiSeal, pengguna jalan raya juga boleh meraih manfaat daripada Total Confidence Plan (TCP), yang menyediakan penggantian tayar satu sama satu untuk kerosakan jalan yang tidak dijangka dalam tahun pertama, dengan tuntutan diuruskan dengan mudah melalui aplikasi Conti TCP.
Saiz Dan Model Tayar ContiSeal Yang Tersedia Di Pasaran
Saiz dan model tayar ContiSeal yang tersedia termasuklah UltraContact UC7, PremiumContact C dan UltraContact UC6 SUV, dalam saiz antara 16 inci hingga 20 inci.
Untuk mendapatkannya, ia kini tersedia di mana-mana pengedar yang mengambil bahagian di seluruh negara atau di kedai edagang Shopee dan Lazada rasmi Continental.