Carian
Apakah Jenis Susu Yang Sesuai Digunakan Untuk Menyediakan Cafe Latte?
August 6, 2024 Lina Rosli

Selain daripada memilih biji kopi atau kapsul yang lazat untuk secangkir kopi, sudah tentu pemilihan susu juga memainkan peranan yang penting. Ini kerana, dengan kehadiran susu yang bersesuaian, ia akan memberikan profil rasa yang lebih sempurna untuk cafe latte anda.

Untuk pengetahuan anda, sama ada latte mahupun cappuccino dan juga flat white, sekurang-kurangnya satu per tiga daripadanya adalah susu. Jadi semestinya pemilihan susu perlu diberi perhatian yang sama seperti espresso.

Jenis-Jenis Susu Yang Ditawarkan Di Pasaran

Untuk mengetahui sama ada, adakah susu ini sesuai digunakan untuk menyediakan cafe latte, ia memerlukan anda untuk mengetahui jenis-jenis susu yang tersedia di pasaran.

Di bawah adalah jenis-jenis susu yang sering anda lihat di rak jualan – susu segar, pasteur dan UHT. Setiap jenis susu memberikan ciri-ciri unik apabila digunakan dalam cafe latte ataupun cappuccino.

Susu segar

Untuk susu segar, susu ini cenderung diambil terus dari ladang. Secara umumnya, susu ini mempunyai rasa manis dan tekstur cecair yang tebal apabila sejuk.

Dan, apabila dipanaskan, ia menghasilkan rasa berlemak – menjadi lebih ketara jika dipadankan di dalam secangkir kopi. Oleh itu, kebanyakan individu tidak terlalu gemar menggunakan atau memadankan susu segar dengan espresso.

Bukan itu sahaja, susu segar juga agak kontroversial kerana ia tidak dipasteur – ini bermaksud bakteria di dalam susu tidak dimusnahkan. Ini sekaligus membuatkan lebih ramai pengguna untuk bertukar kepada jenis susu lain.

Susu Pasteur Dan Tidak Dihomogenkan

Susu pasteur memberikan rasa manis yang tinggi tetapi tekstur yang nipis apabila diminum sejuk. Apabila dipanaskan, rasa manis kekal dan teksturnya menjadi lebih berkrim.

Di dalam secawan kopi, apabila anda menggunakan susu pasteur, ia memberikan keseimbangan di dalam antara rasa manis berkrim dengan sedikit kepahitan kopi.

Susu HTST

Susu yang biasa ditemui di pasaran ini mempunyai rasa krim dengan tahap manis sederhana. Apabila dipanaskan dan dicampur dalam cappuccino, rasa manisnya bertambah, memberikan keseimbangan yang baik dengan rasa kopi.

Selain itu, susu HTST juga mudah didapati di pasaran dan mempunyai jangka hayat yang agak panjang, menjadikannya pilihan yang praktikal untuk kedai kopi.

Susu UHT

Susu UHT dipasteur pada suhu yang sangat tinggi, yang membolehkan ia disimpan tanpa penyejukan. Ia mempunyai rasa krim yang kuat dan manis seperti susu dalam tin.

Namun, disebabkan ia mempunyai buih yang kurang apabila dipanaskan, orang ramai agak kurang menggemari susu UHT kerana apabila bercampur dengan espresso, ia meningkatkan rasa pahit dan kurang menarik.

Secara umumnya, susu UHT sesuai untuk mereka yang memerlukan penyelesaian penyimpanan jangka panjang, tetapi mungkin kurang sesuai untuk mereka yang mencari rasa cappuccino yang lebih kompleks.

Komen