Carian
Mengapa Anda Perlu Elak Mengunci Jam Penggera Banyak Kali Dalam Tempoh Masa Yang Singkat?
August 7, 2024 Lina Rosli

Pernahkah anda berada di dalam situasi di mana anda risau akan terlepas waktu untuk bangun, dan solusi yang anda lakukan adalah dengan mengunci jam penggera beberapa kali pada pukul 6:30 pagi, kemudian 6:45 pagi, 6:55 pagi, dan 7:05 pagi – untuk memastikan anda bangun tepat pada masanya.

Jika ya, tahukah anda bahawa mengunci jam beberapa kali untuk sela masa yang singkat adalah tidak baik untuk kualiti tidur anda?

Mengapa Tetapan Jam Penggera Yang Banyak Tidak Membantu?

Untuk pengetahuan anda, menurut pakar neurologi dan perubatan tidur, tabiat menekan butang snooze atau tunda berulang kali boleh mengganggu kualiti tidur anda.

Sama juga dengan menetapkan jam penggera beberapa kali, yang memerlukan anda untuk bangun dan mematikannya. Kemudiannya, anda menyambung tidur dengan fikiran yang mana anda akan bangun selepas kali ke-4 jam penggera anda berbunyi.

Walaupun secara logiknya, menekan butang tunda memberi peluang untuk anda tidur lebih lama, akan tetapi ia sebenarnya merosakkan kualiti tidur anda.

Pada jam-jam terakhir tidur, individu biasanya berada dalam tahap terakhir kitaran tidur yang dikenali sebagai tidur REM (Rapid Eye Movement). Tahap ini penting untuk pemprosesan memori dan pemikiran kreatif. Mengganggu tahap tidur ini boleh memberi kesan negatif kepada fungsi otak.

Kebanyakan masa, seseorang yang memerlukan banyak penggera untuk bangun pagi sebenarnya mengalami kurang tidur. Oleh sebab itu, anda perlu mengetahui berapakah jumlah tidur yang anda sebenarnya perlukan. Dan adakah anda mendapatkannya setiap malam?

Harus diingatkan, ini berbeza dengan mengetahui jumlah tidur yang anda mahukan.

Cara Melatih Diri Bangun Dengan Satu Penggera

Secara umumnya, sesetengah individu mungkin mempunyai masalah untuk bangun dengan satu penggera – ini kerana mereka mengalami inersia tidur.

Inersia tidur merupakan keadaan di mana individu berasa sukar untuk bangun dari tidur dan mula mencari satu ruang masa untuk menyambung tidur. Keadaan ini biasanya akan berlangsung sekitar 15 hingga 30 minit. Namun, ia juga boleh berlaku sehingga 2 hingga 4 jam jika anda tersedar awal atau semasa tidur nyenyak.

Oleh itu, untuk melatih diri bagi lebih mudah untuk bangun dengan satu penggera, anda perlu memastikan bahawa anda telah mendapatkan tidur yang cukup. Kebanyakan orang dewasa memerlukan sekitar tujuh hingga sembilan jam tidur setiap malam.

Jika anda seorang yang sering berjaga malam, anda mungkin perlu mengubah waktu tidur anda 30 minit lebih awal setiap beberapa hari atau satu jam lebih awal setiap minggu.

Elakkan juga daripada memasang lampu terang dan hadkan masa skrin sehingga empat jam sebelum tidur untuk membantu pengeluaran melatonin semula jadi badan anda.

Atau cara yang lebih mudah, anda boleh menggunakan cahaya atau penggera jenis bukan berada di sebelah katil yang memerlukan anda bangun dari katil untuk mematikannya. Mendapatkan cahaya matahari selama 15 hingga 30 minit pada waktu pagi juga boleh membantu mengubah jam badan dalaman anda.

Komen