SEIKO Memperlihatkan 7 Rekaan Konsep Jam Tangan Di Pameran Power Design Project 2024

August 8, 2024
Gaya Hidup

Lina Rosli

Untuk meraikan acara bersejarah SEIKO, yang mana jenama ini membuka butik pertama mereka di The Exchange TRX, SEIKO turut memperkenalkan Pameran Power Design Project 2024 buat kali pertama di Malaysia.

Bertemakan “Incredibly Specialized Watches”, pameran tahun ini menonjolkan tujuh rekaan konseptual unik yang menggambarkan semangat inovatif SEIKO dan kemahiran teknologi. Encik Yu Ishihara, Pengarah Reka Bentuk dari Pasukan Pembangunan Reka Bentuk jenama ini telah dijemput khas untuk acara tersebut dan memukau hadirin dengan visi kreatif unik di sebalik rekaan setiap utas jam tangan.

Power Design Project adalah inisiatif eksperimental untuk pereka dalaman pembuat jam tangan SEIKO bagi menerokai intipati pembuatan jam tangan di luar batasan tradisional, mengekspresikan kreativiti dan perspektif individu mereka.

Berikut adalah rekaan konseptual bagi 7 jam tangan SEIKO:

#1 Jam Tangan Hide-and-Seek

Jam tangan Hide-and-Seek daripada SEIKO ini direka khas untuk kanak-kanak atau individu yang ingin menerokai pengalaman baharu yang menyeronokkan. Ia hadir dengan beberapa ciri menarik seperti:

  • Dial untuk Mengira Masa: Rekaan jam menunjukkan had masa 10 minit secara analog, memudahkan pemain mengawasi masa dan sangat mudah dibaca.
  • Dalam Keadaan Terbuka: Semasa mengira dengan mata kiri, mata kanan ditutup dengan penutup, membolehkan pemain fokus pada masa sambil menikmati alunan lagu yang menghiburkan.
  • Dalam Keadaan Tertutup: Pemain boleh mengira bilangan pemain yang ditemui dengan memutar dial.

Jam ini tersedia dalam dua warna iaitu hitam dan putih.

#2 Jam Tangan Patternmaker

Idea asal jam tangan Patternmaker oleh SEIKO ini adalah untuk merancakkan pemikiran kreatif sepanjang waktu bekerja – khusus untuk individu di dalam industri fesyen atau seni pertukangan.

Jam Patternmaker menawarkan inovasi yang unik dengan gabungan fungsi jam dan alas jarum dalam satu rekaan. Masa boleh ditandakan dengan menekan pin, menjadikannya gabungan sempurna antara jam dan alas jarum.

  • Variasi Rekaan: Terdapat pelbagai variasi rekaan dengan bentuk dan warna alas jarum yang berbeza, memenuhi citarasa fesyen individu setiap pembuat pola.
  • Gabungan Bahan: Menampilkan fabrik alas yang lembut, tekstur tali jam yang halus, dan nuansa warna pada bahagian jam digabungkan dengan bahan yang berbeza untuk mencipta rekaan yang elegan dan menarik.

Jam ini bukan sahaja berfungsi dengan baik tetapi juga menambah elemen gaya dalam alat kerja anda.

#3 Jam Tangan Sukiyaki

Dihasilkan khusus untuk chef, pereka jam tangan ini mengambil pendekatan yang teliti untuk hadir dengan fungsi yang tepat untuk memasak hidangan sukiyaki – baru memastikan ia mempunyai rasa yang tepat.

Jam tangan Sukiyaki dari SEIKO menggabungkan seni memasak dengan ketepatan waktu. Setiap fungsi jam direka untuk meniru kehalusan memasak, memastikan setiap detik adalah sempurna. Selain itu, SEIKO juga telah membangunkan manual khusus untuk memastikan semua bahan dimasak pada masa yang ideal, menjadikannya alat yang bukan sahaja bergaya tetapi juga fungsional dalam setiap aspek.

#4 Jam Tangan Untuk Pencinta Panda

Jam tangan untuk pencinta panda dari SEIKO adalah satu rekaan yang mencerminkan ciri-ciri panda. Berbeza dengan jam tangan panda yang lain, SEIKO menghindari rekaan kartun – sesuai digunakan untuk orang dewasa yang juga menyukai panda.

Fokus utama untuk rekaan ini adalah elemen panda – sama seperti Xiang Xiang si panda, jam ini juga mempunyai mulut dengan sudut yang terangkat, corak yang menyerupai mata yang layu, kilauan dalam mata, dan garisan dari hidung ke mulut menunjukkan pemerhatian yang teliti.

Apabila anda memakainya, jam ini seolah-olah membuka minda anda kepada ekologi misteri panda dan hubungannya dengan manusia.

#5 Jam Tangan Pita Pelindung

Khusus buat pelanggan yang mencari keunikan dalam produk jam tangan, SEIKO turut menawarkan pilihan personalisasi yang menarik yang mana jam menawarkan tempat letak pita pelindung pada sekeliling jam.

#6 Jam Tangan Dua Ambidextrous

Jam tangan yang membenarkan individu untuk memakainya pada kedua-dua belah tangan – yang mana muka jam akan berubah mengikut belah tangan yang dipakai.

Menurut pereka jam tangan SEIKO, memakai dan membaca masa pada jam tangan melibatkan sistem memori, pemahaman, visual, dan motor. Menariknya, dengan jam ini, anda boleh mengubah cara otak anda berfungsi hanya dengan menukar sisi tempat anda memakai jam tangan.

Menggunakan tangan yang bertentangan dengan tangan yang memakai jam bukan sahaja mengubah bahagian otak yang digunakan, tetapi juga mengalihkan perhatian kepada tangan yang memakai jam.

#7 Jam Tangan Sunny Men

Mengimbau kembali rekaan jam pada zaman dahulu sebelum adanya jam mekanikal dan automatik, SEIKO turut memperlihatkan rekaan konsep untuk jam matahari. Untuk memastikan ia memaparkan masa dengan tepat, pelbagai syarat perlu dipenuhi.

Menariknya, jam matahari ini boleh berubah bentuk. Ia boleh dilaraskan, sudut dial boleh diubah, dan ia boleh diputar ke kiri dan kanan. Malah, orientasi sarungnya juga boleh disesuaikan mengikut perubahan musim. Dan jam ini juga, hanya untuk kegunaan cuaca cerah sahaja.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd