Apakah Perbezaan Antara Greek Yogurt Dan Yogurt Biasa?
Lina Rosli
Acapkali dikaitkan sebagai pilihan diet yang baik untuk kesihatan, yogurt merupakan antara makanan yang paling digemari di seluruh dunia kerana kaya dengan nutrien dan mudah untuk dinikmati pada bila-bila masa.
Namun, terdapat beberapa jenis yogurt yang mungkin mengelirukan anda – contohnya greek yogurt dan juga yogurt biasa.
Apa Itu Greek Yogurt?
Greek yogurt merupakan jenis yogurt yang telah melalui proses penapisan sebanyak tiga kali untuk membuang whey, iaitu cecair yang tertinggal selepas susu dipanaskan dan dikultur.
Proses ini menghasilkan yogurt yang lebih pekat dan kaya dengan protein. Kandungan protein yang tinggi dalam greek yogurt menjadikannya pilihan popular bagi mereka yang ingin meningkatkan pengambilan protein, terutamanya bagi atlet atau mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Selain itu, greek yogurt juga biasanya rendah gula dan karbohidrat, menjadikannya pilihan yang lebih baik untuk pengawalan gula darah.
Beberapa kelebihan lain greek yogurt termasuklah:
- Tinggi protein – Setiap hidangan greek yogurt mengandungi dua kali ganda lebih protein berbanding yogurt biasa. Ini menjadikannya makanan yang sangat baik untuk membina otot dan membuatkan individu berasa lebih kenyang.
- Tinggi probiotik – Ia juga mengandungi bakteria baik yang membantu kesihatan usus dan juga melancarkan sistem pencernaan.
Apa Itu Yogurt Biasa?
Berbeza dengan greek yogurt, yogurt biasa tidak melalui proses penapisan tambahan menjadikannya lebih cair dan kurang pekat. Yogurt ini sering kali lebih manis dan mengandungi lebih banyak gula. Walaupun kandungan protein dalam yogurt biasa lebih rendah, ia masih merupakan sumber kalsium dan probiotik yang baik.
Malah, disebabkan tekstur yogurt yang cair, ia lebih mudah dicampur dengan bahan-bahan lain seperti buah-buahan dan granola. Ini menjadikannya pilihan yang baik sebagai makanan ringan atau sarapan.

Jadi, Mana Satu Yang Lebih Sihat Dan Sesuai Untuk Anda?
Pilihan antara greek yogurt dan yogurt biasa bergantung kepada keperluan pemakanan dan gaya hidup anda.
Jika anda memerlukan lebih banyak protein dan kurang gula, greek yogurt adalah pilihan terbaik. Namun, jika anda mencari sesuatu yang lebih ringan dan manis, yogurt biasa mungkin lebih sesuai.
Bagi mereka yang mempunyai intoleransi laktosa, kedua-dua jenis yogurt ini mungkin lebih mudah dihadam berbanding susu biasa kerana kebanyakan laktosa telah dipecahkan semasa proses fermentasi.

Tidak kira jenis yogurt yang anda pilih, pastikan anda membaca label dengan teliti. Pilih yogurt yang mengandungi sedikit bahan tambahan dan elakkan yogurt yang mempunyai gula tambahan atau bahan pengental. Yogurt yang baik sepatutnya hanya mengandungi susu dan kultur bakteria aktif.