Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-67, Inside Scoop memperkenalkan perisa aiskrim edisi terhad hasil kolaborasi dengan jenama-jenama Malaysia yang digemari ramai seperti Beryl’s, Farm Fresh, dan Secret Recipe.
Rangkaian Lokal Legends ini diinspirasikan daripada produk-produk popular jenama-jenama ini, memberikan rasa unik yang diraikan dengan penuh kebanggaan Malaysia.
Perisa-perisa baru ini membawakan kenangan manis kepada rakyat Malaysia dengan rasa yang ikonik dan dekat di hati. Berikut adalah perisa-perisa yang diperkenalkan:
- Choco Malt Farm Fresh: Perisa ini diinspirasikan daripada minuman malt coklat yang sering membawa kita kembali ke zaman kanak-kanak. Dihiasi dengan serbuk malt coklat rangup, ia memberikan pengalaman yang penuh kehangatan dan nostalgia.
- Chocolate Indulgence Secret Recipe: Dengan ilham daripada kek kegemaran rakyat Malaysia, perisa ini menggabungkan ketulan kek span coklat yang digaul dengan aiskrim coklat gelap untuk rasa yang penuh coklat.
- Tiramisu Almond Chocolate Beryl’s: Gabungan rasa tiramisu yang lembut, coklat pekat dan badam panggang menjadikan perisa ini satu sentuhan baru yang menarik untuk pencuci mulut kegemaran ramai ini.
Selain perisa-perisa yang telah diumumkan, Inside Scoop turut merancang untuk melancarkan satu lagi perisa yang diinspirasikan oleh ZUS Coffee pada 26 Ogos 2024.
Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan kesemua aiskrim ini, bersempena kolaborasi ini, setiap aiskrim satu skop akan disajikan dengan cup sleeve yang direka khas mengikut warna jenama masing-masing dan dilabelkan dengan perkataan “Lokal Legends.”