Pos Malaysia Dan Whoscall Komited Membanteras Sindiket Penipuan Panggilan Palsu – Khusus Melibatkan Penghantaran Bungkusan

August 12, 2024
Gaya Hidup

Lina Rosli

Dalam usaha memerangi ancaman yang semakin meningkat, kempen Anti-Parcel Scam secara rasmi dilancarkan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada inisiatif #ScamFreeMalaysia oleh Pos Malaysia dan Whoscall dengan sokongan PDRM.

Untuk pengetahuan anda, jenayah penipuan bungkusan telah mengganggu kepercayaan orang ramai terhadap sistem pos negara dan meletakkan ribuan rakyat Malaysia dalam risiko. Sepanjang 2021 hingga 2023, sebanyak 8,011 kes telah dicatatkan – ini melibatkan jenayah penipuan panggilan telefon dan telah menyebabkan nilai kerugian sebanyak RM440,971,870.50.

Manakala kes penipuan yang melibatkan Pos Malaysia, penyamaran sebagai pegawai Pos Malaysia pula mencatatkan jumlah kes mencecah 448 kes dengan jumlah kerugian mencapai RM27,186,773.82 secara keseluruhan. Untuk tahun 2024 sahaja, jumlah kes yang direkodkan adalah sebanyak 87 kes.

Baru-baru ini, satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pos Malaysia, PDRM dan Whoscall telah diadakan sebagai simbol kerjasama pelbagai pihak dalam membanteras penipuan bungkusan yang semakin berleluasa.

Kempen Anti-Parcel Scam ini diilhamkan oleh peningkatan kes penipuan yang melibatkan penghantaran dan penerimaan bungkusan palsu. Sindiket penipuan sering kali menyasarkan individu yang kurang sedar tentang risiko ini, dengan membuat panggilan palsu dan menyamar sebagai pegawai Pos Malaysia. Oleh yang demikian, bersama-sama dengan PDRM dan Whoscall, Pos Malaysia telah menyenaraikan sekitar 6,600 nombor sah yang berdaftar (verified numbers) yang akan digunakan oleh pegawai mereka.

Dengan pelancaran kempen ini, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengambil langkah proaktif dalam melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa penipuan. Individu dicadangkan untuk memuat-turun aplikasi Whoscall untuk mengenalpasti nombor telefon operasi para posmen dan pegawai Pos Malaysia.

Bersempena kempen ini, Whoscall menawarkan percubaan percuma ciri Premium Whoscall selama 60 hari untuk rakyat Malaysia – gunakan kod promo PosAntiScam.

Bagi yang tidak mengetahui, Whoscall ialah satu-satunya aplikasi anti-penipuan dipercayai yang diluluskan olen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan baru-baru ini dilantik oleh CyberSecurity Malaysia sebagai rakan strategik Anti-Scam mereka. Menjangkau lebih daripada sekadar panggilan dan mesej teks, Whoscall telah memperkenalkan ciri terbaharunya, Auto Web Checker, di Malaysia. Ciri baharu ini memberikan amaran serta merta apabila pengguna melawat laman web penipuan secara tidak sengaja, membantu mengelakkan kebocoran data peribadi dan kecurian akaun.

Selain itu, langkah lain yang disarankan untuk anda lakukan sewaktu menerima bungkusan dari kurier termasuklah:

  • Memeriksa sumber bungkusan yang diterima.
  • Mengesahkan identiti penghantar.
  • Tidak mudah terpedaya dengan tuntutan bayaran yang meragukan.

Kempen ini juga akan melibatkan pelbagai saluran komunikasi seperti media sosial, iklan televisyen, dan ceramah awam untuk memastikan mesej anti-penipuan sampai kepada semua lapisan masyarakat. Selain itu, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dan syarikat-syarikat penghantaran turut diperkukuhkan untuk mengesan dan menghentikan operasi sindiket penipuan ini.

Dengan sokongan dan penyertaan semua pihak, kempen Anti-Parcel Scam ini diharapkan dapat mengurangkan kes penipuan di Malaysia dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua pengguna perkhidmatan penghantaran di negara ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd