Nampaknya, kita sudah berada di pertengahan Ramadan, semestinya sudah banyak hidangan dan juadah yang telah kita cuba sewaktu berbuka puasa.
Ada yang menggemari juadah Barat, ada juga yang menginginkan lauk kampung seperti gulai dan masak lemak dan ada juga yang meminati hidangan makanan dari Timur Tengah, China, Korea, Jepun dan banyak lagi.
Apabila bercakap mengenai juadah dan hidangan berbuka puasa ini, tidak lengkap jika kita tidak menikmati juadah tradisional tempatan. Mana tidaknya, juadah-juadah tradisional ini bukan sahaja menawarkan rasa rempah dan herba yang cukup lengkap, tetapi juga mengajak kita mengimbau kembali memori-memori lama ketika meraikan Ramadan dan Syawal bersama keluarga.

Untuk saya sendiri, terdapat beberapa hidangan wajib yang saya nantikan tidak kira sewaktu puasa ataupun hari raya ini – antaranya menu rendang, sambal kacang dan ketupat. Bagaimana pula dengan anda?
Fakta Menarik Mengenai Juadah Tradisional Yang Popular Di Malaysia
Tahukah anda bahawa setiap menu ini mempunyai sejarah dan asal usulnya yang tersendiri – di Tajria, hari ini kita akan berkongsi tentang bagaimana setiap hidangan ini disediakan.
Sate
Sate merupakan salah satu juadah yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya di negeri bahagian selatan – seperti Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.
Makanan ini disediakan menggunakan bara api arang kayu. Setiap kepingan daging tidak kira lembu atau ayam akan dibakar dan di atas api sehingga masak.

Untuk pengetahuan anda, juadah ini pada asalnya dicipta di Kepulauan Jawa oleh pedagang sekitar abad ke-19. Ia kemudiannya dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu dan mula di popularkan di sekitar Selangor.
Di Malaysia, daerah yang sangat sinonim dengan juadah sate ini adalah Kajang yang dipopularkan oleh Haji Samuri. Berbeza dengan sate yang lain, Sate Haji Samuri ini disediakan bersama kuah kacang dan sambal lada dengan resepi tersendiri. Bukan itu sahaja, hidangan ini juga boleh dinikmati bersama-sama nasi impit, timun dan bawang. Dan kini terdapat beberapa lagi kedai sate popular lain di Kajang seperti Willy Satay dan Sate Rono.
Lemang
Seterusnya, lemang juga merupakan salah satu hidangan raya yang sangat popular di Malaysia. Terdapat pelbagai jenis lemang yang anda boleh dapatkan termasuk lemang jagung, lemang tepung dan lemang pulut hitam.
Antara tempat yang sering menjadi tumpuan untuk membeli lemang adalah di Kijal, Terengganu yang menempatkan pelbagai jenis lemang di sepanjang jalan. Kebiasaannya, lemang ini disediakan menggunakan beras pulut dan santan yang dimasukkan ke dalam buluh dan seterusnya dibakar sehingga masak.

Penciptaan menu lemang ini bermula ketika zaman Kepulauan Melayu pada abad ke-16, yang mana hidangan ini dinikmati oleh kaum orang asli Semang, Semai dan di sekitar Negeri Sembilan dikalangan orang asli Temuan dan Melayu Minangkabau.
Selain itu, hidangan ini juga turut dinikmati oleh kaum Dayak di Sarawak. Namun, cara penyediaannya sedikit berbeza yang mana mereka menggantikan beras pulut kepada ayam.
Rendang
Tidak kira daging atau ayam, rendang sememangnya tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Juadah ini berasal dari daerah Padang melalui masyarakat Minangkabau yang menggunakan rendang sebagai makanan ketika merantau, kerana ia dapat bertahan berminggu-minggu jika dimasak sehingga kering minyak.
Malah, menurut Hikayat Amir Hamzah iaitu catatan klasik Melayu, hidangan ini dikatakan sudah wujud dari abad ke-16 lagi.

Sebutan ‘rendang’ yang kita kenali pula berasal dari perkataan Indonesia ‘merandang’ atau ‘randang’, yang bermaksud “perlahan”, mencerminkan proses masakan yang mengambil masa lama.
Di Malaysia, terdapat pelbagai variasi rendang mengikut gaya masak berlainan negeri. Sebagai contoh, Rendang Minang amat popular dikalangan masyarakat Negeri Sembilan yang mana rasanya lebih pedas berbanding rendang lain, sementara Rendang Tok pula dimasak sehingga kering dan berwarna sedikit gelap.
Roti Jala
Hidangan ini merupakan hidangan pilihan kebanyakkan rakyat di Malaysia. Roti Jala, Roti Kirai atau Roti Renjis ini dicipta oleh masyarakat nelayan Melayu yang mana ia diinspirasikan oleh jala ikan dan pedagang India.

Pada asalnya adunan tepung hanya perlu direnjiskan ke atas kuali dengan menyebarkan pergelangan tangan – atau secara kirai. Di Malaysia, Roti Jala ini cukup terkenal dalam kalangan masyarat Melayu Riau di Johor.
Hidangan ini biasanya dipadankan dengan kuah kari. Namun, bagi anda yang menginginkan kelainan, Roti Jala ini juga boleh dimakan dengan hidangan kuah yang lain seperti serawa durian, sos coklat, dan kuah sambal.