Carian
Penjenamaan Semula Jenama Jus Minuman Tropicana – Hadir Dengan Logo Baharu
August 15, 2024 Lina Rosli

Sinonim dengan jenama jus oren, Tropicana baru-baru ini memperkenalkan penjenamaan semula untuk logo dan produk mereka.

Bagi yang tidak mengetahui, Tropicana merupakan jenama minuman yang menawarkan beberapa pilihan produk seperti jus oren segar dan juga pilihan minuman buah-buahan lain – seperti nenas dan juga limau gedang.

Berbeza dengan penjenamaan mereka sebelum ini, kali ini Tropicana bekerjasama dengan agensi reka bentuk Sunhouse, memperkenalkan logo baru dengan bentuk limau pada huruf ‘I’ dan ilustrasi limau yang dilukis tangan.

Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan mesej bahawa “Tidak semua jus dicipta sama” dan memperkukuhkan kedudukan Tropicana sebagai peneraju dalam pasaran jus.

Menggantikan ilustrasi daun pada huruf ‘I’ (tropIcana), ilustrasi daun berkenaan diletakkan pada bahagian penutip botol jus berkenaan. Ia seolah-olah memberi gambaran, seperti buah limau dengan daunnya.

Identiti visual baharu ini memperlihatkan penggunaan palet warna yang lebih minimalis, iaitu menggunakan warna putih sebagai warna asas dan kemudian menggabungkannya dengan buah-buahan untuk menggambarkan perisa berbeza. 

Dari segi muka taip, Tropicana masih lagi mengekalkan penggunaan muka taip yang lama – cuma melakukan sedikit perubahan pada huruf ‘T’ dan juga ‘I’. Ini sekaligus mengekalkan tradisi dan elemen asal Tropicana yang sangat dikenali sebagai jenama jus segar oleh rata-rata individu dari pelbagai lapisan umur.

Dengan penjenamaan semula ini, Tropicana bukan sahaja merayakan warisannya tetapi juga memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran jus, menunjukkan bahawa mereka sentiasa mengutamakan kualiti dan inovasi.

Komen